KLANG: Mendiang pembantu juruterbang yang terkorban dalam nahas pesawat ringan terhempas di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Tok Muda, Kapar sudah dibawa keluar dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
Mendiang Roshaan Singh Raina, 43, dibawa dengan menggunakan sebuah Toyota Vellfire milik syarikat Sai Sivam Casket Services, pukul 3.05 petang ini.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati beberapa ahli keluarga mendiang turut beredar dari Jabatan Forensik hospital tersebut.
Usaha menemubual ahli keluarga bagaimanapun gagal kerana kesemua mereka enggan diganggu.
Difahamkan, mendiang Roshaan dipercayai dibawa ke Sunway Lenang Heights, Johor Bahru bagi urusan pengebumian.
Terdahulu, waris mangsa nahas termasuk mendiang Daniel Yee Hsiang Khoon, 31, tiba di hospital berkenaan pukul 8.06 pagi.
Proses bedah yang dijalankan bermula pukul 10 pagi dan selesai pukul 12 tengah hari tadi mendapati punca kematian akibat pelbagai kecederaan.
Semalam, kedua-dua mayat mangsa ditemukan terbenam sedalam dua meter di dalam kokpit bangkai pesawat model BK 160 Gabriel tersebut, kira-kira pukul 2 petang.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan sebuah pesawat ringan yang terhempas itu melibatkan dua mangsa.
Pesawat dikendalikan Air Adventure Flying Club itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pukul 1.28 bagi penerbangan rekreasi. Hubungan terakhir pesawat dengan pegawai kawalan trafik udara dilaporkan pada pukul 1.35 petang. – UTUSAN










