KLANG: “Pesawat itu dilihat seperti hilang kawalan dan terjunam dengan bunyi dentuman kuat.”
Demikian kata Jinaidi Nasiran, 55, yang mendakwa menyaksikan insiden sebuah pesawat ringan yang terhempas di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Tok Muda, Kapar di sini, hari ini.
Dakwa penyelia kilang itu, ketika kejadian dia sedang menukar tayar kereta di hadapan rumahnya yang terletak berdekatan lokasi tersebut, kira-kira pukul 1.30 petang.
“Saya kemudian pergi memeriksa dan mendapati pesawat itu sudah terjunam ke tanah kebun berkenaan. Pada waktu itu, saya cuba mencari mangsa namun tidak menemukannya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Tambah Jinaidi, kejadian yang berlaku kira-kira 50 meter dari rumahnya itu kali pertama berlaku di kampung berkenaan.
“Setakat ini tiada penduduk kampung tercedera dalam kejadian tersebut,” ujar bapa kepada dua anak itu.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati sepasukan anggota polis dan bomba sedang menjalankan siasatan di sekitar lokasi berkenaan.
Kawasan itu turut ditutupi garisan larangan kuning bagi langkah keselamatan dan mengelak dikerumuni orang ramai.
Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor mengesahkan kejadian sebuah pesawat ringan terhempas dalam sebuah ladang kelapa sawit berhampiran Sekolah Kebangsaan Tok Muda, Kapar di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.56 tengah hari tadi sebelum mengerahkan sepasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapar ke tempat kejadian.
Menurutnya, bagaimanapun jumlah, identiti dan status keselamatan mangsa terlibat belum diketahui.
“Sampai di lokasi benar berlaku kapal terbang terhempas dan kerja-kerja mencari mangsa sedang dijalankan. Jenis pesawat adalah Aircraft Aviation Safety Technology,” katanya kepada pemberita, hari ini. – UTUSAN










