Pesanan Azraai Khor jaga kebajikan pemain

Pesanan Azraai Khor jaga kebajikan pemain

MAHDZIR Khalid (tiga kiri) menziarahi ahli keluarga Allahyarham Mohd. Azraai Khor Abdullah di Alor Semadom, Alor Setar. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Allahyarham Mohd. Azraai Khor Abdullah yang membimbing pasukan bola sepak Kedah sejak 2004 hingga 2009 sering berpesan agar pihak pengurusan tidak mengabaikan kebajikan pemain yang menyarung jersi hijau kuning.

Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pesanan tersebut tidak pernah lekang daripada mulut Allahyarham setiap kali mereka bertemu bagi memastikan persembahan bermutu ditampilkan pasukan.

Menurutnya, Mohd. Azraai Khor sentiasa diingati ramai kerana beliau merupakan seorang jurulatih yang bersama-sama mengangkat KFA ke mercu kejayaan pada masa itu.

“Semasa saya Menteri Besar, kami menang tiga piala pada 2007 dan sekali lagi menang tiga piala pada 2008 yang menjadi kejayaan double treble cukup cemerlang dan membanggakan untuk bola sepak Kedah.

“Arwah seorang jurulatih yang berdedikasi, kuat kerja dan sangat bersemangat dalam bola sepak. Beliau selalu bagi pandangan apa yang patut kita buat dan salah satu dia kata sebagai peneraju negeri dan Presiden KFA ‘Datuk jangan lupa tentang kebajikan pemain’ yang menurutnya sangat penting,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menziarahi ahli keluarga Allahyarham Mohd. Azraai Khor, 72, yang meninggal dunia pada Khamis lalu selepas dipercayai mengalami serangan strok.

Tambah Mahdzir, kebajikan yang dimaksudkan Mohd. Azraai Khor tidak hanya berkisar kepada soal gaji dan bonus tetapi turut melibatkan keluarga pemain sama ada yang sudah berumah tangga atau menanggung ibu bapa.

“Beliau pesan jaga kesemua lah kerana arwah kata kalau kebajikan pemain terjaga, Insha-Allah mereka akan berusaha sungguh-sungguh menghadiahkan kemenangan kepada negeri dan rakyat Kedah,” katanya.

Menyentuh isu tunggakan gaji yang dihadapi pemain Kedah Darul Aman (KDA FC) ketika ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah itu berkata, pihak berkaitan tidak sepatutnya menyalahkan orang lain dan sebaliknya mencari jalan untuk menyelesaikan perkara itu.

“Sesiapa yang berada di situ sebagai ketua perlu pikul tanggungjawab tentang apa yang berlaku sebab ini melibatkan kebajikan pemain yang ada keluarga. KDA FC adalah syarikat yang ditubuhkan oleh kerajaan melalui KFA juga.

“Tak boleh sewenang-wenang kata ini awak yang salah sebab tak bagi gaji, orang itu pula kata salah awak sebab tak bagi duit. Realitinya sudah lima bulan mereka tak dapat gaji, jadi ambil tanggungjawab bersama-sama,” katanya.

Sementara itu, bekas Naib Presiden KFA, Datuk Othman Aziz berpendapat, persatuan itu tetap mempunyai tanggungjawab terhadap kejayaan bola sepak Kedah walaupun pasukan kini sudah diswastakan.

“Kita tak boleh lepas tangan kepada KDA FC semata-mata dan saya yakin KFA mesti ada suara atau ‘golden share’ dalam kelab atau syarikat itu yang perlu dirujuk sekiranya berdepan sebarang bermasalah,” katanya.

Bagi bekas Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris, penjelasan mengenai entiti berbeza KFA dan KDA FC yang dibuat baru-baru ini dilihat seolah-olah badan induk bola sepak negeri itu tidak mahu bertanggungjawab dan tiada kesungguhan kerajaan negeri ketika ini.

“Jika mereka kata ada pemisahan antara KDA FC dan KFA, kena faham Exco Belia dan Sukan yang merupakan wakil kerajaan negeri juga merupakan Naib Presiden KFA dan dia juga ada syer dan berada dalam pengurusan tertinggi KDA FC jadi dia tidak boleh lari daripada tanggungjawab termasuk Menteri Besar Kedah,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN