BATU PAHAT: Perbicaraan kes pembunuhan seorang ibu tunggal, Mila Sharmilah Samsusah, 32, dipindahkan dan akan disebut semula di Mahkamah Tinggi Muar pada 11 Mac ini.
Keputusan itu dibuat Majistret Batu Pahat, Suhaila Shafi’uddin sementara menunggu laporan forensik selepas dicadangkan oleh peguam bela tertuduh, Mohammad Haikal Mahfuz, 24, Syahril Anuar dan dipersetujui oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Khalijah Khalid.
Berdasarkan kes pertuduhan, Mohammad Haikal didakwa membunuh Mila Sharmila atau lebih dikenali sebagai Bella di antara Jalan Kelapa Bali, Taman Soga sehingga ke sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Jalan Besar, Tongkang Pechah, dekat sini antara pukul 11 malam, 14 Disember hingga 5.30 pagi, 15 Disember 2023.
Bekas posmen itu didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika disabitkan kesalahan di Mahkamah Tinggi.
Peguam pemerhati bagi keluarga Bella, Nur Aminahtul Mardiah Md. Nor turut hadir dalam prosiding tersebut.
Turut kelihatan di mahkamah ialah kakak dan ibu Bella bersama-sama kira-kira 20 ahli keluarga yang lain.
Keluarga Bella turut membawa sepanduk yang menuntut keadilan atas kematian ibu tunggal beranak dua itu.
Dalam perkembangan sama, dua orang anak arwah Mila Sharmilah Samsusah atau Bella yang berusia empat dan dua tahun akan dijaga oleh nenek mereka.
Ibu Bella, Noraini Salleh, 55, berkata, dia akan menjaga dua cucunya itu, Eusof Abdul Fatah, 4, dan Maream Isabel, 2, sehingga akhir hayatnya.
Katanya, kakak Bella, Norhisham akan turut membantunya dalam setiap urusan berkaitan dua orang cucunya itu sehingga mereka membesar. – UTUSAN










