IPOH: Perak mengalami kerugian sebanyak RM2 juta akibat kecurian hasil bumi Lantanida menerusi aktiviti perlombongan haram di kawasan Hulu Perak.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, bagi tempoh 2019 hingga 2023, sebanyak enam laporan diterima oleh pihak polis yang melibatkan aktiviti pencerobohan kawasan perlombongan di tiga Hutan Simpan Kekal (HSK) negeri Perak.
Tiga hutan tersebut ialah Hutan Simpan Bintang Hijau, Hutan Simpan Kenderong dan Hutan Simpan Piah, kata beliau.
“Kerajaan negeri memberi perhatian yang serius terhadap kes kecurian perlombongan Lantanida menerusi aktiviti perlombongan haram di Hulu Perak.
“Mengakibatkan kerugian hampir RM2 juta kepada hasil kerajaan dan dilihat boleh mengganggu gugat kelestarian alam sekitar sekiranya tidak dibendung,” katanya dalam sesi soal jawab sidang dewan undangan negeri (DUN) Perak di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Wong Chai Yi (Simpang Pulai-PKR) yang bertanyakan tentang perlombongan lantanid secara haram.
Saarani berkata, hasil serbuan dijalankan ke atas lokasi-lokasi tersebut oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak dengan kerjasama PDRM serta Pejabat Tanah dan Galian (PTG), seramai 31 individu ditangkap yang mana 10 daripadanya adalah warga tempatan termasuk empat orang asli dan 21 individu adalah pendatang asing tanpa izin.
“Sebagai langkah pencegahan, kerajaan negeri turut meningkatkan rondaan dan pemantauan berkala di kawasan-kawasan titik panas aktiviti perlombongan menggunakan kaedah pemantauan di lapangan, pemantauan udara, penderiaan jauh (remote sensing), dan pesawat udara tanpa pemandu atau dron yang dijalankan oleh PTG dan Jabatan Perhutanan,” katanya.
Katanya, agensi seperti PTG, Jabatan Perhutanan, Jabatan Mineral Dan Geosains serta PDRM akan sentiasa bekerjasama antara satu sama lain dari segi perkongsian maklumat dan dapatan mengenai aktiviti perlombongan haram dalam kawasan HSK negeri Perak. – UTUSAN










