LANGKAWI: Seorang lelaki meninggal dunia apabila motosikal yang ditunggangnya melanggar seekor kerbau yang melintas jalan di Jalan Kuala Teriang di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, mangsa, Muhammad Dinie Izzat Mohd. Shukor, 19, meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai insiden tersebut pada pukul 9.08 malam.
“Kemalangan maut melibatkan sebuah motosikal jenis Modenas Kriss yang melanggar binatang dipercayai seekor kerbau di Jalan Kuala Teriang berdekatan dengan Kampung Lawer.
“Hasil siasatan yang dijalankan, kemalangan berpunca daripada kerbau terbabit yang melintas jalan dan mangsa tidak sempat untuk membrek,” katanya di sini, hari ini.
Shariman berkata, mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Sultanah Maliha (HSM) untuk bedah siasat.
Tambahnya, motosikal mangsa mengalami kerosakan pada bahagian hadapan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -UTUSAN










