Peniaga warung nafi amang seksual tiga kanak-kanak lelaki

Peniaga warung nafi amang seksual tiga kanak-kanak lelaki

TERTUDUH didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka kerana melakukan amang seksual terhadap tiga kanak-kanak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang peniaga warung dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual, memiliki bahan pornografi dan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap tiga kanak-kanak lelaki sejak Ogos tahun lalu.

Tertuduh, Yusri Nadin, 57, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus 10 pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azaraorni Abd. Rahman.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap tiga kanak-kanak berusia 12 dan 13 tahun.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017.

Tertuduh juga berdepan dua pertuduhan di bawah Seksyen 14(b) AKSTK 2017 yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Sementara itu, tertuduh turut didakwa di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan kerana melakukan persetubuhan luar tabii yang memperuntukkan penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 30 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan antara pukul 6 petang dan 6.30 petang di ladang sawit dan getah serta di sebuah kedai serbaneka di Simpang Bekoh, Asahan dalam daerah Jasin antara Ogos 2023 hingga 7 Disember 2023.

Dalam pada itu, tertuduh turut berdepan pertuduhan memiliki pornografi kanak-kanak dalam tiga buah telefon bimbit miliknya.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 10 AKSTK 2017.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rashidah Baharom menawarkan jaminan RM90,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Tertuduh diwakili peguam Ishak Mohd. Kari merayu jaminan rendah kerana anak guamnya hanya berpendapatan RM2,000 sebulan selain mengidap sakit kencing manis dan darah tinggi selain perlu menanggung empat ahli keluarga.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM52,000 bagi kesemua pertuduhan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan dikenakan syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa sehingga kes selesai serta melapor diri di balai polis sekali setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 28 Mac untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN