BAGAN SERAI: Kehadiran etnik Rohingya yang semakin ramai di daerah ini bukan sahaja menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penduduk tetapi tertanya-tanya apakah status mereka.
Penduduk berkata, mereka hairan kerana etnik itu bekerja di sektor pertanian seperti di sawah dan kebun sayur sedangkan difahamkan statusnya adalah sebagai pemegang Kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa -Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNCHR) yang tidak dibenarkan bekerja.
Seorang penduduk di sini, Haikal Bukhari Kamal, 40, berkata, ramai yang masih tidak faham status etnik itu sama ada sebagai pelarian atau pekerja asing, sama seperti pekerja dari Indonesia, Bangladesh dan lain-lain negara.
Katanya, orang ramai tidak diperjelas secara terperinci apa yang boleh dan yang tidak boleh dilakukan oleh seorang pemegang Kad UNCHR yang berada di negara ini.
“Ramai yang keliru tentang perkara ini kerana ada dakwaan yang mengatakan mereka tidak boleh bekerja namun apa yang dilihat secara realitinya mereka bekerja di pelbagai sektor seperti pertanian, pembinaan dan sebagainya.
“Sedangkan warga asing seperti Indonesia, Bangladesh, Pakistan dan lain-lain mempunyai had tempoh masa mereka untuk bekerja di negara ini.
“Mereka juga perlu mempunyai dokumen lengkap dan perlu perbaharui permit kerja setiap tahun termasuk membayar levi, tetapi kenapa pemegang kad UNCHR ini seolah-olahnya tidak mempunyai had masa yang tetap untuk tinggal sementara di negara ini.
“Apa yang saya faham, kebanyakan pelarian etnik Rohingya yang masuk secara haram ke negara kita ini adalah golongan pelarian yang ditempatkan di Coax Bazar di Bangladesh.
“Itu bermaksud mereka di bawah zon perlindungan dan bukannya orang yang lari dari penindasan di negara mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Haikal Bukhari juga menyatakan kebimbangan penduduk di sini terhadap sikap etnik itu berikutan kejadian seramai 132 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan di Depoh Tahanan Imigresen Bidor, melarikan diri baru-baru ini.
Katanya, kejadian itu sebahagian besarnya melibatkan etnik Rohingya yang melarikan diri daripada pusat tahanan tersebut.
“Kejadian itu menunjukkan sikap sebenar etnik itu dan ini membimbangkan penduduk di sini,” katanya. – UTUSAN










