SEREMBAN: Seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan sumbang mahram dengan adik kandungnya yang berusia 12 tahun pada Januari dan Mac 2021.
Tertuduh, yang berusia 22 tahun dan merupakan pelajar jurusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal di Pasir Gudang, Johor bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Datin Surita Budin.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didapati melakukan sumbang mahram dengan adik kandungnya yang berusia 12 tahun lapan bulan semasa kejadian pada Januari 2021.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang juga anak keempat didapati telah melakukan sumbang mahram dengan adik bongsunya yang berusia 12 tahun lapan bulan pada Mac 2021. Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Sikamat, di sini.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 16(1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Jika disabitkan kesalahan d ibawah Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan juga sebatan.
Bagi hukuman di bawah Seksyen 16(1), tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang dua sebatan. Timbalan Pendakwa Raya, Jiwan Kaur Malkith Sing tidak menawarkan wang jaminan memandangkan tertuduh dan mangsa adalah adik-beradik dan tinggal di rumah yang sama.
“Mangsa yang merupakan anak bongsu dari lima beradik, kini berada di bawah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya.
Sementara, peguam mewakili tertuduh, Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris memohon kepada mahkamah membenarkan wang jaminan yang rendah dapat diberikan kepada tertuduh kerana akan menjalani latihan praktikal di Pasir Gudang, Johor.
“Tertuduh akan memenuhi segala syarat tambahan yang ditetapkan,” katanya.
Surita menetapkan wang jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dengan syarat tambahan.
“Tertuduh juga diminta tidak mengganggu mangsa dan dikehendaki melaporkan diri di balai berdekatan setiap bulan dan perlu tinggal bersama abang ipar,” katanya. Tarikh sebutan semula kes pada 18 Mac ini. – UTUSAN










