KANGAR: Kerajaan negeri sasar lebih 350,000 pengunjung sempena Pesta Angin Timur (PAT) 2024 di Kampung Lat Seribu, Tambun Tulang pada 1 hingga 3 Mac ini.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, PAT 2023 mencatatkan kehadiran sekitar 350,000 pelancong dan tahun ini jumlah tersebut diharap melebihi rekod tahun lalu.
Katanya, terdapat kelainan tersendiri sempena PAT 2023 termasuk aktiviti berkaitan segmen udara selain pelbagai acara menarik sebagai nilai tambah bagi memeriahkan pesta tersebut.
“Dalam segmen udara, antara acara menarik adalah melibatkan aktiviti belon udara panas, pertandingan paramotor, ‘motorized hand glider’ dan payung terjun.
“Beberapa acara dan pameran lain seperti Jerami Art Tunnel, catatan sejarah The Malaysia Book of Records pembuatan garam belacan melibatkan 1,000 orang pelbagai kaum di Perlis dan cerapan bintang turut dirancang,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Dewan Undangan Negeri Perlis di sini hari ini.
Seterusnya Mohd. Shukri menjemput seluruh rakyat Malaysia hadir ke PAT 2024 kerana ia adalah pesta terulung di utara selain kadaan cuaca juga diramalkan cukup baik sepanjang tempoh penganjuran berlangsung.
Sementara itu Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Yusri Yusoff berkata, beliau difahamkan lebih 128 agensi dan jabatan akan turut bersama menjayakan PAT 2024.
Katanya, penganjuran PAT tahun ini adalah kali ke-12 diadakan dan pihak kementerian mengalu-alukan kerjasama kerajaan negeri serta mengharapkan acara itu menjadi lebih besar dan berkualiti.-UTUSAN










