KUALA KRAI: Sepasang suami isteri warga emas hidup dalam kebimbangan selepas kawanan kera dan lotong liar menceroboh masuk ke dalam rumah mereka untuk mencari makanan sehingga mrosakkan tingkap, bumbung dan peralatan rumah di Kampung Tanjung Kala di sini,sejak tiga bulan lalu.
Mohd. Zain Ali, 66, yang tinggal bersama isterinya, Norma Mohd. Zin, 62, resah apabila lebih 15 ekor haiwan tersebut berani memasuki rumah selain bertenggek di atas bumbung dan tingkap.
Katanya, sebelum ini, haiwan itu sudah beberapa kali merosakkan bumbung dan barangan rumah mereka.
“Kami terpaksa keluarkan belanja lebih RM2,000 bagi membaiki kerosakan bumbung selain memasang zink bagi menghalang lotong dan kera memasuki rumah.
“Haiwan ini tidak takut langsung dan tidak lari sekiranya dihalau. Jika kita cuba mendekatinya, ia melawan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Mohd. Zain berkata, ancaman dan gangguan daripada haiwan berkenaan semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini sehingga dia terpaksa melaporkan perkara itu kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Katanya, Perhilitan datang meninjau dan membuat siasatan di kawasan rumahnya pada 31 Januari lalu, namun masalah tersebut masih tiada penyelesaian.
“Kami dinasihatkan oleh Perhilitan supaya memasang perangkap sendiri. Bagaimanapun, serangan ancaman lotong dan kera itu semakin menjadi-jadi sehingga saya menanggung banyak kerugian.
“Kami berharap Jabatan Perhilitan membantu kami termasuk memasang perangkap untuk menghalau haiwan liar itu,” katanya. – UTUSAN











