JELI: Penyelidikan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) melalui pengkomersialan produk berasaskan kenaf iaitu BioKenaf berjaya menjana nilai jualan melebihi RM50 juta selain mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak tempatan.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, pencapaian itu membuktikan penyelidikan universiti mampu membuka peluang ekonomi kepada masyarakat menerusi pembangunan produk berasaskan komoditi tempatan.
Katanya, kenaf bukan sahaja berpotensi digunakan untuk mendapatkan serat bagi keperluan industri, malah boleh dikembangkan menjadi pelbagai produk bernilai tambah menerusi penyelidikan dan inovasi.
“BioKenaf yang dihasilkan menerusi penyelidikan Dr. Maryana Mohamad Noor merupakan antara contoh kejayaan usaha membawa hasil penyelidikan ke pasaran.
“Pencapaian ini menunjukkan bagaimana hasil penyelidikan universiti dapat membuka peluang ekonomi kepada masyarakat. Saya mengucapkan tahniah kepada pasukan penyelidik dan pihak industri yang terlibat,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian Karnival Industri Asas Tani (AGX) 2026 di Universiti Malaysia Kelantan di sini hari ini.
Noraini memberitahu, proses membawa sesuatu produk ke pasaran memerlukan usaha berterusan, bermula daripada pembangunan produk dan kawalan mutu sehingga kepada pemasaran.
Katanya, beliau berharap kejayaan BioKenaf menjadi dorongan kepada warga penyelidik UMK untuk terus menghasilkan produk baharu berasaskan kenaf yang mampu memberikan nilai ekonomi lebih tinggi.
“Pembangunan Hab Inovasi dan Pengkomersialan Kenaf penting bagi membantu lebih banyak hasil penyelidikan berkaitan kenaf dikomersialkan.
“Potensi industri kenaf perlu disokong oleh amalan penanaman yang baik serta bekalan bahan mentah mencukupi bagi memastikan kelangsungan pembangunan industri berkenaan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Noraini berkata, kerjasama UMK dengan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) penting kerana UMK mempunyai kepakaran dalam penyelidikan, manakala agensi kerajaan itu berperanan membimbing pengusaha dalam aspek penanaman dan pembangunan industri kenaf.
Katanya, pengusaha perlu mengambil kira kesesuaian tanah, kos pengeluaran dan kemudahan pemprosesan selain memastikan pasaran tersedia supaya hasil tanaman dapat dijual pada harga yang memberikan pulangan berbaloi.
“Kenaf mempunyai tempoh matang antara 120 hingga 150 hari. Pengusaha berpotensi menjana pendapatan antara RM3,000 hingga RM5,000 sehektar bagi setiap musim,” ujarnya.-UTUSAN











