Paras air Empangan Air Itam turun 1 peratus sehari

Paras air Empangan Air Itam turun 1 peratus sehari

CHOW Kon Yeow ketika lawatan di Empangan Air Itam, petang tadi. - UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Paras air di Empangan Air Itam, di sini dilaporkan menurun satu peratus sehari ekoran cuaca kering selain penggunaannya bagi menyelesaikan lima kejadian gangguan bekalan air di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir. K. Pathmanathan berkata, bagaimanapun situasi tersebut bukanlah satu perkara baharu dan akan terjadi apabila tiada hujan.

Menurutnya, pada 1 Januari lalu, paras air di empangan berkenaan mencatatkan kadar 69 peratus namun dikesan berlaku penurunan mendadak setiap hari.

“Ini bukan satu keadaan yang sangat panik, rekod pernah menunjukkan sampai 20 peratus pun ada. Penurunan ini adalah kadar yang biasa. Selepas ini, kami dan pihak kejuruteraan akan usahakan satu pelan supaya paras air tidak turun dan dan pada masa akan memastikan bekalan air dapat disalurkan seperti biasa kepada setiap pengguna di Air Itam.

“Pelan mitigasi kejuruteraan akan diumumkan minggu depan, Kami sedang perhatikan kejatuhan peratusan itu dan pihak kejuruteraan perlukan penilaian sebelum tampil dengan cadangan,” katanya kepada pemberita semasa tinjauan di Empangan Air Itam di sini, petang tadi.

Setakat pukul 8 malam semalam, paras air di Empangan Air Itam menurun sehingga 35.4 peratus, berbanding Empangan Teluk Bahang yang mencatatkan paras 87.5 peratus manakala Empangan Mengkuang pula berada pada paras 89.9 peratus.

Terdahulu, media melaporkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedang mengatur beberapa pelan tindakan bagi menangani penurunan paras air Empangan Air Itam sekali gus memastikan bekalan air mencukupi untuk pengguna di Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, beliau akan bertemu Pathmanathan bagi membincangkan usaha pembenihan awan dalam masa terdekat untuk meningkatkan bekalan air di empangan terbabit.

Kelmarin, kapasiti efektif Empangan Air Itam menunjukkan penurunan dan dijangka mampu bertahan selama 29 hari.

Pathmanathan mengesahkan kapasiti Empangan Air Itam melepasi tahap waspada dua dengan pihaknya sudah mengusulkan permohonan untuk melakukan pembenihan awan.

Penyusutan itu turut didorong cuaca kering ketika ini dengan empangan berkenaan membekalkan air kepada kira-kira 170,000 penduduk antaranya meliputi kawasan Air Itam, Paya Terubong dan Jalan Masjid Negeri di bahagian pulau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN