PARIT BUNTAR: Nelayan Daerah Kerian menggesa pihak berkuasa meningkatkan operasi di perairan Kerian bagi mencegah pencerobohan aktiviti bot Kenka di kawasan pesisir pantai di sini.
Nelayan mendakwa, bot Kenka tidak mengikut peraturan ditetapkan terutama saiz mata pukat, yang memerangkap dan membunuh anak ikan.
Wakil nelayan di sini, Saad Samsi,73, berkata, isu bot Kenka bukan perkara baru yang menjadi keresahan nelayan kerana aktiviti bot itu melanggar peraturan yang ditetapkan.
Menurutnya, sepanjang pengetahuannya, bot Kenka sepatutnya beroperasi antara pukul 6 pagi hingga 6 petang namun didapati pukat Kenka beroperasi tanpa mengira masa yang ditetapkan termasuk pada waktu malam.
“Mereka menjalankan aktiviti penangkapan ikan di kawasan pesisir pantai iaitu di bawah 8 batu nautika yang dibenarkan.
“Bot Kenka juga menggunakan pukat dan aksesori di luar had yang dibenarkan Jabatan Perikanan.
“Difahamkan pukat yang digunakan sepatutnya mengikut mata saiz yang ditetapkan namun mereka menggunakan saiz mata yang kecil, iaitu yang dilarang penggunaannya.
“Aksesori pukat pula sepatutnya menggunakan batu ladung seberat 48 kilogram tetapi kebanyakkannya melanggar syarat yang iaitu penggunaan batu ladung sehingga 120 kilogram,” katanya di sini semalam.
Seorang lagi nelayan, Mohd. Radzi Said, 53, berkata, ramai nelayan bot kelas A kecewa kerana kerajaan masih belum menghentikan operasi bot Kenka seperti yang diumumkan sebelum ini.
Menurutnya, sepatutnya operasi bot Kenka dihentikan pada tahun 2016, namun kemudian dilanjutkan tempoh sehingga tahun 2020 dan kemudian hingga ke Januari 2024.
“Tapi apa yang kami dengar pula, penggunaan bot Kenka ini dilanjutkan tempohnya hingga 2030. Kami kecewa kerana bot Kenka masih dibenarkan beroperasi,” katanya. – UTUSAN











