KOTA BHARU: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak sepatutnya menyebarkan propaganda mengelirukan susulan keputusan Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.
Ketua Penerangan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Kelantan, Abdul Rahman Khairuddin berkata, kenyataan yang dimuat naik menerusi hantaran Facebook itu seolah-olah memberi gambaran Pengerusi Perikatan Nasional (PN) tidak memahami undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, kenyataan Muhyiddin pada 9 Februari lalu yang menyifatkan pembatalan enakmen itu menyebabkan perbuatan yang bertentangan dengan hukum Islam seperti menawarkan perkhidmatan maksiat, berkhalwat, sumbang mahram dan minum arak tidak lagi menjadi suatu kesalahan bagi umat Islam di negeri Kelantan amat mengecewakan.
“Sebagai seorang bekas Perdana Menteri, adalah lebih baik jika beliau menunjukkan contoh yang baik sebagai seorang pemimpin dan juga menerapkan nilai-nilai politik matang.
“Kami ingin mengingati semua bahawa dengan terbatalnya 16 peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 itu sama sekali tidak akan memberi ruang dan peluang kepada masyarakat untuk melakukan perbuatan terkutuk.
“Ketahuilah bahawa hukuman di bawah Kanun Keseksaan yang termaktub di bawah Mahkamah Persekutuan itu adalah lebih berat dan lebih besar impaknya. Contohnya untuk kesalahan liwat, denda penjara maksimum 20 tahun beserta sebatan, manakala Enakmen Kelantan pula tidak lebih tiga tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Abdul Rahman memberitahu, pembatalan 16 peruntukan enakmen tersebut adalah kerana pertindihan kuasa di antara peringkat negeri dan Persekutuan.
Katanya, walaupun beberapa peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 tersebut sudah terbatal namun keseluruhan institusi mahkamah syariah tetap utuh dan keadilan di dalamnya tetap terjamin.
“Ini menandakan kestabilan dan kebolehpercayaan sistem kehakiman syariah di negeri Kelantan. Masyarakat perlu fahami bahawa keputusan ini bukanlah satu isyarat untuk masyarakat bebas melakukan maksiat atau melanggar hukum Islam.
“Sebaliknya, ia menegaskan prinsip undang-undang dan peraturan yang diiktiraf, memberikan jaminan bahawa keadilan akan terus dijalankan tidak kira bangsa mahupun agama,” ujarnya. – UTUSAN









