Bicara tangguh, abang ipar Muhyiddin meninggal dunia

Bicara tangguh, abang ipar Muhyiddin meninggal dunia

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membabitkan projek Jana Wibawa di Mahkamah Tinggi di sini hari ini ditangguhkan berikutan abang ipar beliau meninggal dunia.

Perbicaraan hari ini sepatutnya diteruskan dengan soal balas saksi pendakwaan ke-13, Pengarah Nepturis Sdn Bhd, Aliza Abdul Malek.

Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin yang menangguhkan prosiding ke Isnin ini turut mengucapkan takziah kepada Muhyiddin dan keluarganya.

Terdahulu, peguam bela, Datuk Amer Hamzah Arshad memaklumkan mahkamah bahawa abang ipar Ahli Parlimen Pagoh itu meninggal dunia pagi tadi.

“Pihak pembelaan memohon jasa baik mahkamah untuk mengizinkan anak guam kami untuk menziarahi arwah dan menunaikan solat sunat jenazah di Johor.

“Oleh itu, pohon supaya perbicaraan pada hari ini dilapangkan dan disambung pada prosiding perbicaraan pada minggu hadapan (13 Julai),” katanya.

Semalam, Aliza memberitahu mahkamah, salah sebuah syarikat yang disokong oleh Muhyiddin telah dianugerahkan dengan projek berkait Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, Selangor bernilai RM141 juta pada Januari 2022.

Saksi itu turut memberitahu, dia telah menyediakan lima surat permohonan projek itu yang naba empat daripadanya ada untuk empat syarikat lain yang merupakan rakan niaga pemilik Nepturis.

Syarikat-syarikat itu ialah Permata Rebana Sdn. Bhd., Fastcoll Corporation Sdn. Bhd., JM Letrik Sdn.Bhd.dan MZ Hakujaya Sdn. Bhd..

Ujarnya, surat-surat permohonan disediakan olehnya atas arahan Tian Chuan untuk untuk dipanjangkan kepada Perdana Menteri iaitu Muhyiddin.

Muhyiddin, 79, yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn. Bhd., Nepturis Sdn. Bhd. dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti politik berkenaan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Muhyiddin didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Beliau turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada sebuah entiti yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN