Krisis kepemimpinan PN dorong peralihan undi Melayu

Krisis kepemimpinan PN dorong peralihan undi Melayu

KEKALAHAN teruk membuktikan pengaruh Muhyiddin Yassin di negeri kelahirannya sendiri semakin pudar apabila gagal mencetuskan Tsunami Melayu seperti mana PRU15.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Krisis politik antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dikenal pasti antara faktor menyumbang kepada peralihan undi pengundi Melayu dan membolehkan UMNO meraih majoriti besar sehingga mencecah 20,000 undi di beberapa kerusi.

Selain itu, kekalahan teruk membuktikan pengaruh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin di negeri kelahirannya sendiri semakin pudar apabila gagal mencetuskan Tsunami Melayu seperti mana Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Penganalisis sosiopolitik, Prof. Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, perpecahan dalam parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN) menyebabkan gabungan itu semakin hilang keyakinan dalam kalangan rakyat Johor untuk dijadikan pilihan alternatif pada PRN kali ini.

Menurut beliau, PN juga dilihat gagal menawarkan naratif kempen yang meyakinkan dan dekat dengan keperluan pengundi, sekali gus menyumbang kepada kemerosotan prestasi gabungan tersebut.

“Maka tidak mustahil pengundi dilihat memberi kepercayaan kepada gabungan yang dianggap lebih stabil, sekali gus memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).

“Malah keputusan itu menunjukkan Muhyiddin tidak lagi mempunyai ‘wow factor’ yang mampu menarik pengundi seperti pada pilihan raya terdahulu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

PRN Johor menyaksikan BN mencatat kemenangan besar di beberapa kerusi dengan majoriti melebihi 10,000 undi, antaranya Larkin (20,000 undi), Permas (29,000 undi) dan Kempas (14,000 undi), dalam keadaan peratusan keluar mengundi mencecah 68 peratus.

Malah keputusan rasmi PRN Johor menyaksikan PN tidak memenangi sebarang kerusi DUN walaupun mempertaruhkan 33 kerusi.

Awang Azman berkata, perkara itu turut dibuktikan apabila Pengerusi Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal tewas di kerusi DUN Bukit Kepong, sekali gus mencerminkan kegagalan PN mempertahankan pengaruhnya di negeri itu.

Jelasnya, strategi Rumah Bangsa yang dibawa UMNO mula menampakkan hasil apabila berjaya menarik semula sokongan pelbagai kaum, termasuk masyarakat Cina dan India.

“Rumah Bangsa mencetuskan perubahan dan menyebabkan beberapa pemimpin semua kembali kepada UMNO termasuk pemimpin mereka seperti Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kembali kepada akar umbi. Beberapa parti lain turut terbuka bekerjasama dengan UMNO dalam konteks Rumah Bangsa,” katanya.

Dalam hal ini juga katanya lagi, ia turut memberi kekuatan kepada parti komponen BN seperti MCA dan MIC menjadi pilihan rakyat Johor.

“DAP perlu bermuhasabah diri dan lebih menumpukan isu ekonomi, kos sara hidup dan pembangunan berbanding terus memainkan isu-isu lama yang semakin kurang mendapat perhatian masyarakat, termasuk pengundi Cina sendiri yang kini lebih mengutamakan kestabilan.

“Bukan kepada isu tertentu kepada pembebasan Datuk Seri Najib Razak, isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), ia hanya mewakili sesetengah kelompok dalam masyarakat Cina sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. P. Sivamurugan berkata, fenomena Tsunami Melayu dikenal pasti menjadi antara faktor utama yang melonjakkan kemenangan besar BN pada PRN Johor, sekali gus menyaksikan Pakatan Harapan (PH) kehilangan beberapa kerusi termasuk empat kerusi yang sebelum ini dimenangi DAP.

Katanya, kebangkitan sokongan pengundi Melayu terhadap BN jelas memberi kelebihan besar kepada gabungan itu, berbeza dengan jangkaan awal bahawa peningkatan peratusan keluar mengundi lebih banyak didorong oleh pengundi bukan Melayu.

Beliau berkata, kempen BN yang menumpukan kepada agenda kestabilan politik, kesinambungan pentadbiran dan pembangunan negeri berjaya menarik sokongan rakyat Johor.

“Pada saya, wujud seolah-olah satu gelombang Bangsa Johor yang boleh disifatkan sebagai Tsunami Melayu. Ramai menjangkakan pengundi Cina yang pulang mengundi, namun, apa yang berlaku ialah pengundi Melayu yang keluar beramai-ramai dan menyumbang kepada kemenangan BN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN