MPBPP suntik dana tambahan RM5 juta bantu bumiputera miliki rumah

MPBPP suntik dana tambahan RM5 juta bantu bumiputera miliki rumah

KHAIRIL ANUAR MOHAMMAD ANUAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang (MPBPP) menyuntik dana tambahan sebanyak RM5 juta bagi menyediakan kemudahan pembiayaan perumahan bumiputera di negeri ini menerusi Tabung Perumahan Bumiputera Pulau Pinang (TPBPP) yang akan diuruskan oleh Co-opbank Pertama (CBP).

Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar berkata, itu antara perkara yang telah dipersetujui oleh pihaknya dengan MPBPP bagi tujuan penambahbaikan terhadap skim TPBPP sedia ada sekaligus memudahkan pemilikan hartanah untuk bumiputera di Pulau Pinang.

“Perkara ini selari dengan objektif penubuhan TPBPP itu sendiri yang telah diwujudkan pada 27 Februari 2012 iaitu bagi membantu bumiputera yang kurang berkemampuan untuk memiliki rumah sendiri.

“Selain itu, ia juga berupaya meningkatkan pemilikan hartanah bumiputera di negeri ini dengan mengambil kira faktor persekitaran pemilikan rumah di Pulau Pinang,” katanya di sini, hari ini.

Menurut Khairil Anuar, di samping menyediakan suntikan tambahan dana sebanyak RM5 juta, skim pembiayaan perumahan itu juga akan ditambah baik dengan had pendapatan isi keluarga pemohon dinaikkan kepada maksima RM12,000 sebulan daripada RM3,000 sebulan sebelum ini.

“Jumlah had pembiayaan hartanah juga telah dipersetujui untuk dinaikkan kepada RM300,000 daripada RM200,000. 

“Kenaikan jumlah had pembiayaan ini sedikit sebanyak dapat memberi pilihan kepada para pelanggan dalam memilih bentuk kediaman yang bersesuaian dengan keperluan mereka,” katanya.

Tambah beliau, CBP sebagai sebuah bank koperasi yang mula bertapak di Pulau Pinang amat berbesar hati dengan mandat yang telah diberikan oleh MPBPP bagi menjayakan skim pemilikan perumahan bumiputera itu.  

Dalam pada itu, Khairil Anuar memberitahu, sebelum ini, MPBPP telah memperuntukkan sebanyak RM14.59 juta kepada CBP yang dioperasikan secara dana pusingan atau ‘rolling-fund’.

“Dana ini disalurkan secara berperingkat iaitu sebanyak RM5 juta pada 2012 serta RM9.59 juta pada Mac 2014 dengan jumlah penerima manfaat yang melebihi 300 orang bumiputera setakat ini.

“Justeru, orang ramai yang berminat boleh membuat permohonan di semua cawangan CBP di Pulau Pinang bermula 1 Julai 2024 dan permohonan ini hanya terbuka kepada bumiputera dan terhad bagi pembiayaan hartanah di Pulau Pinang sahaja,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN