BUKIT MERTAJAM: Sebuah motosikal milik seorang penghantar p-hailing antara 13 kenderaan yang disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dalam Ops Motosikal sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina berhampiran Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang di sini, malam tadi.
Pengarah JPJ negeri, Zulkifly Ismail berkata, motosikal yang disita itu diklasifikasikan sebagai tidak mematuhi piawaian keselamatan untuk kegunaan di atas jalan raya.
“Kita dapati motosikal yang ditunggangi lelaki berusia 30-an itu telah diubahsuai secara ekstrem apabila tidak mempunyai brek belakang selain menggunakan tayar bersaiz kecil dan ‘swing arm’ yang panjang sekali gus mengundang risiko yang amat tinggi untuk penunggang terbabit terlibat dengan kemalangan.
“Justeru, tindakan penyitaan itu terpaksa diambil bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku yang akhirnya boleh menjurus kepada kecederaan parah atau kemalangan maut,” katanya kepada pemberita semasa turut-serta dalam operasi penguatkuasaan itu, di sini malam tadi.
Dalam operasi yang sama, sebuah motosikal yang ditunggangi seorang lelaki yang dikategorikan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) pekak dan bisu turut disita kerana tidak mempunyai lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans.
Mengulas lanjut, Zulkifly berkata, secara keseluruhannya, sebanyak 453 buah motosikal telah diperiksa dengan 135 daripadanya dikenakan tindakan undang-undang.
“Sepanjang operasi berlangsung, sebanyak 181 notis saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk beberapa kesalahan utama seperti tiada lesen memandu yang sah dan LKM tamat tempoh.
“Dalam hal ini, kita mahu memfokuskan kepada tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap penunggang dan pembonceng motosikal.
“Penguatkuasaan juga menekankan kepada pengendali motosikal dengan tujuan memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap kelakuan mereka atau pemilik motosikal yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan kaedah-kaedah di bawahnya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 7,691 kenderaan telah diperiksa sepanjang Ops Khas Bulan Perayaan Tahun 2024 yang bermula 1 Februari lalu.
“Sehingga kelmarin (7 Februari), sebanyak 1,175 kenderaan telah dikenakan tindakan dan notis saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan jalan raya dan daripada jumlah itu, 108 kenderaan turut disita kerana gagal mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.-UTUSAN










