Mekanik rugi RM200,000 bengkel motosikal musnah dijilat api

Mekanik rugi RM200,000 bengkel motosikal musnah dijilat api

BENGKEL motosikal yang disewa oleh Mazlan sejak 12 tahun lalu musnah dalam satu kebakaran di Kampung Guar Perahu, Bukit Mertajam.UTUSAN / SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Seorang mekanik menanggung kerugian kira-kira RM200,000 selepas bengkel motosikal yang disewanya sejak 12 tahun lalu musnah dalam satu kebakaran di Kampung Guar Perahu di sini, pagi tadi.

Mazlan Japar, 46, yang tinggal di Bukit Berangan berkata, dia bergegas ke bengkelnya selepas menerima panggilan daripada penduduk berhampiran mengenai kejadian itu kira-kira pukul 3 pagi.

“Api sangat marak ketika saya sampai dan saya memang terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan motosikal pelanggan yang sedang dibaiki.

“Sepanjang menyewa di sini, ini adalah kali pertama kejadian seumpama ini berlaku dan sejujurnya saya kecewa, namun reda,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, bapa kepada tiga anak itu berkata, hanya beliau dan adiknya yang bekerja di bengkel terbabit ketika kejadian.

Kata Mazlan, laporan polis sudah dibuat dan dia juga akan menunggu hasil keputusan siasatan daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berhubung kejadian berkenaan.

“Saya merancang untuk mendirikan semula bengkel ini kerana inilah punca utama pendapatan kami.

“Apapun, saya reda dengan apa yang berlaku dan berharap agar rancangan membina semula bengkel ini berjalan lancar,” katanya.

MUHAMMAD Fawwaz (tiga dari kanan) ketika menziarahi Mazlan (tiga dari kiri) di sebuah bengkel motosikal yang terbakar di Kampung Guar Perahu, Bukit Mertajam.UTUSAN / SITI NUR MAS ERAH AMRAN

Sementara itu, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mat Jan turut meluangkan masa melawat ke lokasi kejadian dan menghulurkan sumbangan peribadi kepada Mazlan.

Media sebelum itu melaporkan, sebanyak 23 buah motosikal dan sebuah kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) musnah dalam kebakaran yang berlaku awal pagi itu.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN