TERSERGAM indah dikelilingi perumahan penduduk Cina di Kampung Pinang Khecil, Pangkor, Perak, membuatkan lokasi masjid ini begitu unik.
Masjid al-Khairiah Seribu Doa ini mendapat jolokan masjid Cina kerana seni binanya saling tidak tumpah seperti tokong penganut Buddha.

Dari reka bentuk binaan termasuk bentuk atap, pintu gerbang, pagar malah warnanya juga seakan-akan begitu.
Kalau tidak dek dindingnya dipenuhi dengan kaligrafi Arab dan warna atap berwarna hijau, warna disukai Rasulullah SAW, barangkali ramai yang sangsi.
Namun, kesangsian itulah keistimewaan dimiliki masjid yang gah tersergam dihiasi seribu doa di sekelilingnya yang diukir khas oleh pengukir dari Yayasan Restu.
Pengerusi masjid itu, Roslan Ahmad, 60, berkata, kos pembinaan keseluruhan masjid yang berjarak 1.5 kilometer (km) dari Jeti Pangkor ini mencecah RM6 juta.
Jelasnya, kos berkenaan merangkumi ukiran, lampu limpah, permaidani serta kerja-kerja penyelenggaraan lain.
“Pihak masjid juga mempunyai dana sebanyak RM800,000 hasil sumbangan orang ramai dan pelancong ketika ia mula dibina.
“Cadangan asal hanya untuk menaik taraf masjid lama. Namun, selepas Pangkor dinaik taraf sebagai pulau bebas cukai, kos pengubahsuaian masjid ini memerlukan dana melebihi ratusan ribu ringgit.
“Sebab itu, kerja pembaikan perlu dilakukan secara teliti kerana menjadi sebahagian daripada daya tarikan kepada pelancong. Masjid ini siap dibina pada 2017,” katanya kepada Utusan Malaysia.
TELAGA LAMA
Masjid Cina berkenaan adalah hasil pengubahsuaian masjid asal yang sudah bertapak sejak 100 tahun lalu.
Antara tarikan lain di masjid ini adalah telaga lama sedalam tujuh meter yang masih berfungsi sehingga hari ini.
“Usianya hampir seabad, iaitu sejak masjid asal tertubuh di lokasi sama di kampung berkenaan,” katanya.

KEKAL HARMONI
Sungguhpun hampir tiada penduduk Melayu beragama Islam yang tinggal di sekeliling masjid,
tidak pernah pula timbul sebarang rungutan mengenai azan, ayat al-Quran mahupun zikir yang berkemundang daripada masjid berkenaan.
Roslan berkata, sikap toleransi dalam kalangan kejiranan di kawasan itu juga yang menjadi faktor masjid berkenaan tidak pernah sunyi.
Malah, katanya, ia sentiasa menjadi lokasi mesra pengunjung termasuk pernah menjadi tapak pengajuran sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Jabatan Agama Islam dan Perak (JAIPK), dua tahun lalu.
“Kawasan ini dahulunya adalah sebuah perkampungan Melayu.
“Namun, selepas tragedi rusuhan kaum pada 1969, orang Melayu yang asalnya adalah penduduk majoriti beransur-ansur pindah ke kawasan perkampungan lain.
“Alhamdulillah, ia kekal harmoni. Kalau waktu Subuh masih ada penduduk Islam yang sanggup datang berjemaah di sini,” katanya.
Di Pangkor, demografi penduduk Melayu adalah sekitar 35 peratus sahaja berbanding kaum Cina.
Disoal adakah terdapat peristiwa pengislaman daripada penduduk sekitar, katanya, ia pernah berlaku.
“Pernah ada penduduk sekitar masuk Islam, asbab hidayah yang menerpa melalui laungan azan. Betapa hebatnya kuasa Allah SWT.
“Namun, jumlahnya tidaklah terlalu besar. Kita berdoa agar mereka dikurniakan hidayah dan dapat mengimarahkan masjid ini suatu hari nanti,” jelasnya.










