Malaysia sertai perbicaraan ICJ, beri pendapat isu Palestin-Israel

Malaysia sertai perbicaraan ICJ, beri pendapat isu Palestin-Israel

MOHAMAD HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dijadual mengambil bahagian dalam sesi pendengaran awam mengenai konflik Palestin dan Israel di Istana Keamanan, The Hague, Belanda.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengetuai sesi tersebut dengan mengutarakan hujah Malaysia pada 5.10 petang waktu tempatan bersamaan  pada 12.10 tengah malam ini waktu Malaysia.

Katanya, hujah itu berkaitan dasar dan langkah Israel termasuk pendudukan berpanjangan Israel, aktiviti penempatan dan pencerobohan wilayah Palestin yang merupakan pelanggaran jelas.

“Malaysia menyertai prosedur pendapat nasihat ini bagi membantu ICJ meneliti persoalan-persoalan perundangan yang dikemukakan oleh Perhimpunan Agung PBB.

“Malaysia kekal komited, berdasarkan kemampuan dan keupayaannya untuk mencari jalan penyelesaian yang berkekalan kepada konflik Palestin-Israel di semua platform antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, prosedur itu terhasil daripada Resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang diterima pakai pada 30 Disember 2022, dengan Malaysia menyokong bersama resolusi berkenaan.

“Sebagai sebuah negara yang lantang memperjuang isu Palestin, kehadiran Malaysia di ICJ adalah penting untuk berganding bahu bersama-sama negara sepemikiran dalam mempertahankan isu-isu kemanusiaan sejagat.

“Ia selari dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa bersuara lantang dalam mempertahan hak rakyat Palestin di pelbagai platform antarabangsa,” katanya.

Ia merupakan prosedur berasingan daripada permohonan Afrika Selatan bagi memulakan prosiding terhadap Israel, yang difailkan di ICJ pada 29 Disember 2023.

Ini kali kedua Malaysia terlibat secara langsung dalam prosedur mendapatkan pendapat nasihat ICJ bagi menyokong Palestin.

Pada 2004, Malaysia menyertai permohonan mendapatkan pendapat nasihat ICJ mengenai kesan perundangan pembinaan tembok dalam Wilayah Pendudukan Palestin, yang mana ICJ memastikan bahawa tindakan Israel bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

Sebelum sesi pendengaran awam ini, Malaysia sudah menyertai prosiding bertulis dengan mengemukakan kenyataan bertulis kepada ICJ pada 25 Julai 2023.

Penyertaan Malaysia di ICJ melambangkan usaha bersepadu di pelbagai platform termasuk Majlis Keselamatan PBB, Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) dan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN). – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya