PETALING JAYA: Malaysia dilihat berhadapan krisis kelahiran apabila jumlah kelahiran pada suku tahun keempat 2023 menurun sebanyak 1.1 peratus berbanding tempoh sama pada 2022.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, Laporan Perangkaan Demografi yang memaparkan data penduduk, kelahiran hidup dan kematian bagi suku tahun keempat 2023 menyaksikan jumlah kelahiran hidup suku tahun keempat 2023 menurun 1.1 peratus daripada 114,067 kelahiran pada suku tahun keempat 2022 kepada 112,767 kelahiran.
Katanya, kelahiran bayi lelaki melebihi perempuan dengan 57,894 kelahiran berbanding 54,873 kelahiran bayi perempuan.
“Selangor mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 20,931 kelahiran atau 18.6 peratus manakala jumlah kelahiran hidup terendah dicatatkan oleh Wilayah Persekutuan Labuan dengan 385 kelahiran atau 0.3 peratus.
“Umur ibu berusia 30 hingga 39 tahun merekodkan kelahiran hidup tertinggi pada suku tahun keempat 2023 iaitu 54,044 atau 47.9 peratus, diikuti oleh ibu berumur 20 hingga 29 tahun atau 45.4 peratus), 40 tahun dan lebih merekodkan 4.2 peratus dan kurang daripada 20 tahun iaitu 2.4 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Uzir, Melayu menyumbang 67.2 peratus atau 75,763 kelahiran hidup daripada jumlah kelahiran hidup pada suku tahun keempat 2023 manakala kelahiran hidup bagi kaum Cina dan India masing-masing menurun 9.3 peratus dan 4.1 peratus berbanding 10.4 peratus dan 4.4 peratus pada suku tahun keempat 2022.
“Manakala, bumiputera Lain merekodkan peningkatan kepada 13.3 peratus pada suku tahun keempat 2023,” katanya.
Perkembangan itu telah menarik perhatian Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin yang menyeru kaum Cina berkahwin dan melahirkan anak setelah mendapat kejutan berganda selepas meneliti jumlah kelahiran keluarga Cina yang rendah.
“Saya tertanya-tanya, kenapa bayi Cina tak ramai? Jadi saya gunakan cuti CNY (Tahun Baharu Cina) saya untuk menggali isu ini lebih dalam (lagi pun CNY adalah masa paling tepat untuk membincangkan isu berkaitan masyarakat Cina).
“Ketika saya tengok data DOSM (Jabatan Perangkaan) saya dapati bukan saja bayi Cina kurang, mereka juga kurang menikah. Dua kali terkejut,” katanya dalam Facebook beliau.
Sementara itu, Mohd. Uzir berkata, sejumlah 48,250 kematian telah direkodkan pada suku tahun keempat 2023 dengan penurunan 4.2 peratus berbanding suku tahun keempat 2022 iaitu 50,374 kematian.
Katanya, bilangan kematian bagi lelaki adalah 27,508 manakala 20,742 kematian bagi perempuan.
“Sebagai tambahan, belia juga menyatakan 48,250 kematian telah direkodkan pada suku tahun keempat 2023, penurunan sebanyak 4.2 peratus berbanding suku tahun keempat 2022 iaitu 50,374 kematian. Bilangan kematian bagi lelaki adalah 27,508 manakala 20,742 kematian bagi perempuan,” katanya.
Menurut beliau lagi, Selangor mencatatkan bilangan kematian tertinggi iaitu 7,700 kematian manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan bilangan kematian terendah dengan 69 kematian.
“Daripada segi umur, bilangan kematian umur 60 tahun dan lebih merekodkan bilangan tertinggi iaitu 33,763 kematian atau 70.0 peratus, diikuti oleh umur 41-59 tahun iaitu 20.4 peratus, umur 15-40 tahun dengan 7.4 peratus manakala umur 0-14 tahun dengan 2.3 peratus,” katanya.
Kata Mohd. Uzir, penduduk Malaysia pada suku tahun keempat 2023 dianggarkan 33.7 juta iaitu meningkat 2.0 peratus berbanding 33.0 juta pada suku tahun keempat 2022 yang merangkumi 30.5 juta atau 90.6 peratus warga negara dan 3.2 juta bukan warga negara.
Jelasnya, kenaikan itu disumbangkan oleh pertambahan semula jadi yang positif bagi warga negara dan juga pertambahan penduduk bukan warga negara.
“Penduduk lelaki meningkat kepada 17.7 juta daripada 17.2 juta pada suku tahun keempat 2022 dan perempuan meningkat kepada 16.0 juta daripada 15.8 juta bagi tempoh yang sama. Secara keseluruhan, nisbah jantina penduduk adalah 110 lelaki bagi setiap 100 perempuan, manakala nisbah jantina bagi penduduk,” katanya. – UTUSAN










