Majikan ingkar beri alasan tidak tahu carum Perkeso - Utusan Malaysia

Majikan ingkar beri alasan tidak tahu carum Perkeso

ISMAIL Abi Hashim (empat, kiri) dan Setiausaha Politik Menteri Kesihatan, Mohammad Faisal Ismail (kanan sekali) menyerahkan faedah pencen itu kepada waris penerima dekat Kampung Bukit Badong, Bestari Jaya, di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Terlupa dan tidak tahu mencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kerana premis perniagaan baru beroperasi.

Itu antara alasan lapuk puluhan majikan yang dikenakan tindakan selepas digempur Perkeso dalam Ops Kesan di sekitar daerah ini dan Sungai Buloh semalam.

Pengarah Perkeso Selangor, Ismail Abi Hashim berkata, pihaknya memulakan operasi bersepadu itu bagi menggempur majikan yang masih ingkar mendaftarkan caruman pekerja di negeri ini.

Menurutnya, sebanyak 31 kompaun berjumlah RM18,500 dikeluarkan dalam serbuan bermula pukul 10 pagi hingga lewat petang semalam.

“Ia melibatkan 29 kompaun di Sungai Buloh manakala dua di Bestari Jaya yang kebanyakannya melibatkan premis perniagaan termasuk jualan makanan.

“Pemeriksaan dijalankan ke atas 189 majikan dan mereka antaranya memberi alasan tidak tahu mencarum kerana baharu memulakan perniagaan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Skuad Prihatin Perkeso kepada seorang waris penerima di Kampung Bukit Badong, Bestari Jaya di sini, hari ini.

Beliau menyerahkan bayaran faedah pencen penakat kepada waris Allahyarham Rusani Zon Sanusi, 59 , yang meninggal dunia akibat anemia pada 21 Disember lalu.

Tambah Ismail, semua kesalahan itu diambil tindakan mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

“Semua majikan yang mengambil pekerja termasuk warga asing wajib mendaftar caruman Perkeso dalam tempoh 30 hari mereka diambil bekerja.

“Ops Kesan di Selangor bermula semalam itu akan dijalankan secara berterusan di semua daerah bagi mengesan majikan yang ingkar mencarum,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×