BINTANG Indonesia, Mahalini, 23, membuktikan pengaruh luar biasa apabila lebih 5,000 penonton memenuhi dewan Mega Star Arena untuk menonton konsert Lovechestra Mahalini Sabtu lepas.
Tidak mengecewakan peminat, jelitawan itu mengotakan janjinya dengan menyanyikan 16 lagu dengan iringan muzik orkestra.
Memori tercipta malam Sabtu itu. Mahalini atau nama sebenarnya Mahalini Ayu Raharja berbagi rasa dan berkongsi pelbagai kenangan bersama pencintanya.
Penyanyi asal Despansar, Bali itu membuktikan mutu vokalnya di tahap yang memberangsangkan apabila membawakan kesemua lagu secara live meskipun ada waktunya dia terganggu dengan masalah teknikal.
Pentas Mega Star Arena malam Sabtu lepas tidak hanya menyaksikan persembahan bertenaga, malah eksperimentasi muzikal yang didukung 20 pemuzik tempatan yang diketuai pengarah muzik asal Indonesia, Ronald Steven, Adrian Kitut, Raymond Aditya dan Dennis Nusi.
16 lagu bukan jumlah sedikit. Tambah mencabar apabila dinyanyikan Mahalini berterusan selama dua jam.
Dia membuktikan kemampuan dan tidak sedikitpun mengecewakan peminat yang pada malam tersebut rata-ratanya hadir berpenampilan serba putih mengikut tema ditetapkan.
Lagu yang didendangkan penyanyi bertaraf powerhouse ini malam itu antaranya adalah Bawa Dia Kembali, Aku Yang Salah, Bohong Hati, Buru-Buru, Pecahkan Hatiku, Putar Waktu dan banyak lagi.

AISHA RETNO
Kemunculan Aisha menyanyikan lagu Janji Kita secara duet dengan Mahalini menambah istimewa perjalanan konsert berkenaan.
Aisha yang sebelum ini pernah menjadi penyanyi undangan menerusi konsert Fabula Mahalini Live In KL pada tahun lepas, sekali lagi mencipta memori yang cukup bermakna di pentas berlainan.
Gabungan dua penyanyi itu membawakan lagu tersebut sebenarnya antara elemen paling ditunggu peminat malam itu.
Aisha dan Mahalini saling melengkapi, berjaya mengharmonikan vokal untuk mencorakkan keindahan lagu ciptaan Resa Husin itu.

BUKAN CINTA BIASA
Peminat memuji kesungguhan Mahalini yang memberi penghormatan kepada penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi persembahan nyanyian lagu Bukan Cinta Biasa yang dipopularkan Siti.
Penyampaian Mahalini memberikan warna dan kelainan buat lagu yang ditulis Siti, selain digubah pemuzik Indonesia, Dewiq itu.
Tiada peminat yang membandingkan, waima dalam kalangan peminat Siti sekalipun. Rata-rata memuji kemerduan suara Mahalini yang serasi membawakan lagu tersebut secara live.

RIZKY FEBIAN
Selain Aisha, konsert Mahalini Sabtu lalu juga diserikan dengan kemunculan penyanyi Indonesia, Rizky Febian yang juga merupakan tunang penyanyi tersebut.
Peminat bagaikan diserang histeria melihatkan kemesraan yang dipertontonkan pasangan bahagia itu yang berduet membawakan tiga lagu termasuk Aku Yang Salah, Satu Tuju, You’re Mine dan Selaras Kata.
Malah kemesraan yang dipamerkan pasangan itu sekaligus memadam khabar angin yang mengatakan hubungan mereka renggang.










