Lelaki Thailand didakwa seludup RON95 - Utusan Malaysia

Lelaki Thailand didakwa seludup RON95

NAPPHON Abdulloh mengaku bersalah atas pertuduhan menyeludup petrol bersubsidi dari negara ini ke Thailand dalam prosiding di Mahkamah Sesyen Taiping hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Seorang lelaki warga Thailand mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyeludup bahan api bersubsidi dari negara ini ke Thailand, Sabtu lalu.

Tertuduh, Napphon Abdulloh, 51, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Melayu di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah meletakkan bahan api petrol ke dalam tangki kereta jenis Toyota Camry bagi maksud membawa barangan itu keluar dari Malaysia melalui darat melebihi kuantiti iaitu sebanyak 60 liter.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pos Jabatan Imigresen, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Bukit Berapit, Pengkalan Hulu pada pukul 11.30 pagi, 17 Februari 2024.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Subperaturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Larangan Eksport) 2011 dan boleh dihukum di bawah Perenggan 5(a) peraturan sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda tidak melebihi RM250,000 atau penjara selama tempoh tiga tahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Hasyutantee Khalil manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan dibenarkan dan kes akan disebut semula pada 25 Mac depan untuk serahan dokumen dan jatuh hukum.

Media pada Ahad lalu melaporkan, seorang lelaki yang memandu kereta jenis Toyota Camry 2.2 bernombor pendaftaran Malaysia ditahan ketika melalui pos sekatan jalan raya menuju ke Betong.

Pemeriksaan dilakukan penguat kuasa ke atas kereta itu menemukan sebuah tangki tambahan di bahagian belakang kenderaan yang bersambung dengan tangki asal.

Turut ditemui dalam pemeriksaan itu ialah 60 liter cecair disyaki minyak petrol RON95. Nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM5,123. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN