KEMAMAN: Seorang lelaki yang disyaki memandu dalam keadaan berbahaya di jambatan berhampiran Taman Alam Perdana, Jalan Air Putih-Chukai, dekat sini, pada Khamis lalu berjaya ditahan hari ini
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, penahanan suspek berusia 30-an itu berjaya dibuat selepas sebuah video rakaman kemera papan pemuka atau ‘dashcam’ tular di laman sosial yang memaparkan sebuah kereta dipercayai jenis Volkswagen dipandu secara berbahaya dan nyaris menyebabkan kemalangan.
“Kita berjaya menahan pemandu kenderaan yang memandu secara melulu di sini kira-kira pukul 12 tengah hari tadi bagi membantu siasatan dan kejadian itu dipercayai berlaku pada Khamis lalu kira-kira pukul 8.15 pagi.
“Hasil pemeriksaan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan dia tidak memiliki rekod lampau,” katanya ketika ditemui di sini, petang ini.
Hanyan berkata, suspek akan dibawa ke mahkamah di sini, esok untuk mendapatkan perintah reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, menerusi rakaman video berdurasi satu minit yang dirakam dashcam seorang pengguna jalan raya, kereta yang dipandu suspek dari arah Chukai dilihat dipandu laju dan memotong dua kenderaan di hadapannya.
Kenderaan itu dilihat bergesel dengan cermin sisi sebuah kereta jenis Perodua Axia yang dipotongnya dan nyaris bertembung dengan kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan.
Dalam pada itu, Hanyan turut mengalu-alukan pemilik dashcam untuk menjadi saksi bagi setiap kes yang berlaku bagi membantu kelancaran Op Selamat sempena Tahun Baharu Cina.
“Pendekatan ini dapat memudahkan siasatan polis dilakukan bagi setiap laporan yang diterima dan pemilik dashcam ini juga dapat menjadi mata-mata awam kepada semua agensi penguatkuasaan,” katanya. – UTUSAN










