LONDON: Pihak polis telah menyita sebuah kereta mewah Lamborghini berharga lebih £200,000 (RM1.09 juta) selepas menerima beberapa laporan berhubung kesalahan memandu secara berbahaya dan melebihi had kelajuan.
Pasukan Polis Essex menerima banyak panggilan telefon daripada orang ramai pada petang Sabtu mengenai sebuah kereta Lamborghini Huracan dipandu pada kelajuan yang disyaki melebihi dua kali ganda daripada had dibenarkan di Southend.
Pegawai polis kemudian bertindak menyita kereta mewah berkenaan di bawah undang-undang baharu yang lebih ketat bagi membanteras pemanduan berbahaya.
“Pemanduan antisosial boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain dan menimbulkan gangguan kepada penduduk tempatan,” kata jurucakap pasukan polis.
“Keselamatan komuniti kami akan sentiasa menjadi keutamaan dan kami akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang membahayakan keselamatan orang lain,” tambah beliau.
Menurut portal Autotrader, kereta Lamborghini Huracan mempunyai harga pasaran di atas jalan bermula daripada £238,195 (RM1.3 juta), bergantung pada varian model.
Kenderaan berkenaan disita di bawah Seksyen 59 Akta Pembaharuan Polis yang telah diperketat awal tahun ini.
Ia bagi membolehkan pihak polis merampas kenderaan secara serta-merta sekiranya ia mencetuskan kegelisahan, gangguan atau ancaman kepada orang awam.
Pemandu yang memandu secara berbahaya seperti melakukan putaran roda, berlumba di kawasan perumahan atau sengaja menekan enjin secara berulang kali boleh berdepan tindakan penyitaan kenderaan.
Sebelum pindaan undang-undang tersebut dikuatkuasakan, pihak polis hanya boleh menyita kenderaan sekiranya pemandu terbabit pernah terlibat dalam insiden pemanduan antisosial lain dalam tempoh 12 bulan sebelumnya.
Bagaimanapun, pegawai polis masih mempunyai budi bicara untuk memberikan amaran terlebih dahulu. – AGENSI










