'Tiada siapa mahu tengok saya menyanyi? - Liza Hanim

‘Tiada siapa mahu tengok saya menyanyi? – Liza Hanim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK tergambar mungkin lebih tepat, terungkap dengan kata-kata perasaan yang sedang terbang gembira dalam hati penyanyi, Liza Hanim. 27 tahun dia menanti, akhirnya konsert solonya bakal terlaksana Ahad ini.

Iya, itu bukan cerita baru. Udah pernah dicanang sebelum itu. Namun kesungguhannya untuk terus memperjuangkan bakat tanpa memaut di dahan kontroversi seharusnya dijadikan panduan pendatang baharu.

Bukan dia menolak kontroversi jauh sekali dia menariknya, cuma sifat berhati-hati dalam menyusun bata kejayaan itu perlu ada dalam aturan seninya. Dia tidak mahu, kerana satu bata, habis runtuh istana seni yang dibina.

Namun dalam pada masa sama, dia juga harus akur, kontroversi sedikit sebanyak memang membantu menaikkan nama. Namun, untuk apa bertahan dalam jangka masa sebentar? Bukankah relevansi yang dikejar semua anak seni?

“Saya tahu, mungkin nama Liza Hanim itu tidak begitu popular. Tidak panas kan, kontroversi pun tidak ada. Sebab itu saya akur dan reda dengan aturan Tuhan. Saya selalu berpesan kepada diri, tak apa. Lambat pun tak apa.

“27 tahun saya tunggu, akhirnya terlaksana. Saya berpegang kepada bakat. Walau ada stau ketika, pernah juga terdetik dalam hati. Tiada orang mahu tengok saya menyanyikah? Suara saya tiada ‘harga’ kah?

“Tetapi rezeki Allah itu luas sangat. Buktinya, Ahad ini akan berlangsung konsert berskala besar, Liza Hanim 27 Years Journey di Zepp Kuala Lumpur. Penantian, pengharapan dan doa yang dimakbulkan Tuhan,” katanya.

BANGKIT DARI JATUH

Hakikatnya, bukan sekali dua dia memanjat tangga menghantar kertas cadangan untuk mengadakan konsert sepanjang 27 tahun lepas. Namun satu demi satu kertas cadangannya ditolak.

Entah atas apa alasan, bakat seninya ‘dipadam’ sementara. Namun, api semangat seni yang ada dalam dirinya tidak pernah terpadam. Biar kecil, namun dia percaya sampai masa, yang merah bertukar biru.

“Kecewa itu memang ada, tipulah. Saya pun manusia kan. Ada yang cadangkan, buat persembahan atau mini showcase sahajalah. Tetapi kepuasan itu tidak ada. Mana-mana penyanyi pun, mesti mengimpikan konsert berskala besar.

“Konsert ini adalah pencapaian peribadi buat saya. Selepas beberapa kali percubaan mendapatkan tajaan gagal, bila diberi peluang dan mendapat dana daripada MyCreative Ventures, tidak akan saya siakan.

“Alhamdulillah, penjualan tiket juga sangat baik. Masih ada tiket yang boleh dibeli, tetapi tidak banyak. Saya menjanjikan persembahan yang tidak pernah disaksikan sebelum ini. Ini adalah the real Liza Hanim,” ujarnya.

GEMBIRA, RAIKAN SEMUA

Biarpun senyuman diukir, namun tetap ada kata-kata kecaman yang singgah menerbitkan relung kedukaan di sudut hati penyanyi Gelisah Mimpi ini.

“27 tahun? Orang lain setahun, dua sudah buat konsert.” – Itu antara kata-kata pembunuh semangat yang dilontarkan segelintir pendengki dalam kalangan warganet.

Tidak sekali melatah, semua itu ditelan dalam penyanyi berusia 45 tahun itu. Baginya, setiap anak seni punya aturan sendiri. Dia tidak perlu rakus dan tamak dalam mengejar sesuatu yang belum masa menjadi miliknya.

“Bagi saya, penyanyi-penyanyi itu sangat bertuah bila dapat platform dan peluang tersebut. Saya bangga. Maaf, saya bukan jenis manusia yang cemburu. Tidak semudah itu untuk mematahkan semangat saya.

“Bila lihat penyanyi lain buat konsert, secara tidak langsung saya secara positif lebih bersemangat. Saya motivated diri sendiri, untuk menjayakan apa jua impian biarpun berpuluh tahun menanti.

“Saya harap, kisah ini menjadi inspirasi kepada anak muda semua. Jangan mudah mengalah. Rezeki anda sudah tertulis dengan indahnya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN