MELAKA: Kementerian Pendidikan menggalakkan pihak sekolah menghantar murid-murid melawat ke Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ia penting bagi memastikan kelestarian daripada segi pemeliharaan dan kesedaran tentang sejarah yang menjadi sebahagian pembelajaran di peringkat sekolah.
Menurutnya, lawatan juga menjadi salah satu aktiviti pembelajaran luar bilik darjah yang dapat membentuk pelajar menghargai sejarah negara.
“Dalam konteks ini, saya ingin tekankan bahawa integrasi pendidikan, budaya dan warisan adalah penting untuk memelihara serta mempromosi khazanah budaya dan warisan kita.
“Komitmen ini sangat besar kerana kita perlukan sokongan daripada kerajaan negeri dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk melaksanakan program ini.
“Kementerian sendiri telah menganjurkan pendekatan dengan mengutamakan pendidikan manusiawi dan pembangunan karakter yang menerapkan nilai-nilai murni dalam diri murid menyemai budaya pembelajaran sepanjang hayat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Warisan UNESCO di Bukit Melaka, Banda Hilir di sini, hari ini.
Tambah Fadhlina yang juga Presiden Suruhanjaya UNESCO Malaysia, salah satu inisiatif yang boleh diperkasa adalah melalui penglibatan muzium-muzium dalam membangunkan pengajaran dan pembelajaran (PdP) kreatif serta inovatif berdasarkan elemen merentas kurikulum.
Sementara itu, dalam ucapannya, Fadhlina berkata, baju kebaya akan diiktiraf sebagai warisan tidak ketara UNESCO tahun ini.
“Pakaian tradisional itu kini melalui penilaian yang sedang dilakukan oleh badan dunia tersebut. Setakat ini, Melaka merupakan pusat kegiatan bagi pelbagai warisan tidak ketara yang telah diiktiraf oleh UNESCO seperti Dondang Sayang (2018), silat (2019), pantun dan perayaan Wangkang (2020),” jelasnya. – UTUSAN










