Kuasa pasaran bebas berdasar merit tak sesuai di kawasan terpinggir

Kuasa pasaran bebas berdasar merit tak sesuai di kawasan terpinggir

Noor Azlan Ghazali dalam sidang akhbar mengenai Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di Bangi, semalam,
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Kuasa pasaran bebas untuk membawa pembangunan kepada keseluruhan rakyat tidak boleh berdasarkan merit kerana ketidakseimbangan antara kawasan bandar dan luar bandar.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia (MINDA-UKM), Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, ini kerana ia akan menyebabkan individu, masyarakat dan wilayah yang terpinggir akan terperangkap dalam kedaifan yang juga dikenali sebagai kegagalan pasaran.

“Berdasarkan logistik dan lokasi demografi semata-mata pada tahun-tahun awal kemerdekaan sudah cukup mengasingkan masyarakat yang hidup di bandar dan luar bandar.

“Kuasa pasaran bebas tidak boleh mengesan perkara ini kerana masyarakat di bandar mendapat perhatian lebih, selain kemudahan akses kepada kemajuan teknologi, elektrik, air dan perbankan serta mudah menguasai pasaran berbanding masyarakat di luar bandar,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Beliau yang juga salah seorang Pengerusi Libat Urus Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di Putrajaya dengan fokus kepada isu pendidikan berkata, kegagalan pasaran berasaskan keperluan yang terpakai kepada semua orang menjadi sebab mengapa bumiputera perlu dibantu menggunakan polisi yang khusus dalam pada masa sama tidak mengetepikan kaum Cina dan India.

Jelasnya, untuk merangka polisi afirmatif, negara berhadapan dengan cabaran tidak beretika dalam konteks ‘rent-seekers’ dan ‘free riders’ apabila keduanya mendapat peluang dengan hanya menggunakan lesen bumiputera.

“Polisi afirmatif perlu dibentuk dengan teliti apabila ia terdedah dengan dua entiti itu dengan menitikberatkan empat perkara dalam pembentukannya iaitu Tujuan, Kriteria, Mekanisme dan Graduasi.

“Daripada empat perkara ini mampu meningkatkan keberkesanan dan juga perlu jelas supaya program yang dijalankan tidak dinodai oleh ‘rent-seekers’ dan ‘free riders’,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, KEB 2024 mengharapkan kerjasama dan penyertaan bersama daripada masyarakat Cina dan India bagi membantu menangani masalah kemiskinan, selain membincangkan isu berkaitan ekonomi bumiputera.

Dalam pada itu, Noor Azlan berkata, kaum Cina dan India wajar diberi ruang dalam KEB 2024 bagi membincangkan masalah ekonomi bumiputera selaras Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu.
Katanya, di dalam wasiat tersebut ada menyebut tentang kepentingan kaum-kaum lain, bukan hanya bumiputera atau orang Melayu.

“Dalam perkara dua dan tujuh, jelas dinyatakan oleh Majlis Raja-Raja Melayu tentang tanah rizab Melayu dan juga kepentingan kaum lain.

“Selain itu, perkara yang selalu dirujuk adalah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan bahawa ada dinyatakan yang memerlukan kerajaan atau negara memberi satu perhatian khusus kepada nasib bumiputera dan juga kaum-kaum lain.

“Jadi, ia tidak mengetepikan kaum-kaum lain. Dalam konteks ini juga agenda pembangunan bumiputera boleh saya istilahkan sebagai agenda berperlembagaan. Apabila agenda itu berperlembagaan maka ia menjadi tanggungjawab semua orang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×