PUTRAJAYA: Kod Etika Wartawan Malaysia yang dilancarkan pada hari ini tidak akan mengekang kebebasan media dan pengamal media di negara ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kod etika wartawan ini wujud pada 1989, namun ia kini ditambah baik untuk mendepani cabaran teknologi masa kini.
Beliau berkata, menerusi kod etika yang ditambah baik ini, prinsip-prinsip kebebasan bersuara akan kekal dipertahankan kerana ia termaktub dalam Perlembagaan.
“Tapi pada masa sama, perlu ada peningkatan kesedaran dan kemahiran dalam kalangan wartawan untuk mendepani zaman termasuk cabaran kecerdasan pintar (AI) dan media sosial,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran Kod Etika Wartawan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi dalam ucapannya berkata, tidak ada kebebasan yang mutlak bagi mana- mana individu atau organisasi untuk membuat kenyataan yang tidak benar.
“Dalam konteks ini, undang-undang sedia ada memadai untuk memastikan ketenteraman awam tidak terancam. Justeru, pihak wartawan dan organisasi media perlu bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat yang sahih.
“Wartawan juga berperanan menyuburkan kemakmuran serta keharmonian yang didukung melalui nilai Malaysia Madani,” katanya.
Kod etika wartawan ini, kali pertama dikemas kini sejak ia diperkenalkan pada tahun 1989 yang memperihalkan tanggungjawab wartawan sebagai suara rakyat.
Antara lapan etika itu termasuk wartawan bertanggungjawab menjadi suara masyarakat majmuk serta ejen pemudah cara dialog; wartawan hendaklah telus dan bertintegriti ketika menjalankan tugas; wartawan digalakkan berusaha secara konsisten untuk adil dalam menyampaikan informasi.
Selain itu, pemberitaan tidak boleh dipengaruhi kepentingan peribadi; kesahihan dan ketepatan maklumat perlu disemak; wartawan perlu menghormati privasi dan kerahsian sumber; wartawan perlu memahami undang-undang, akta dan polisi yang berkaitan ruang lingkup tugas mereka dan wartawan perlu beri keutamaan meningkatkan kemahiran kewartawanan secara berterusan.
Ditanya sama ada tugas pengamal media bakal terganggu dengan kehadiran AI, Fahmi berkata, perkara itu tidak akan berlaku kerana wartawan lebih banyak berada di lapangan.
“Kami juga akan minta MPI untuk sediakan modul AI sebagai panduan kepada pengamal media di negara ini,” katanya.
Setakat 16 Februari 2024, seramai 9,750 pengamal media berdaftar dengan Kad Perakuan Media Jabatan Penerangan (JaPen) melibatkan 152 agensi media di mana empat daripadanya media rasmi kerajaan, 38 media tempatan, 60 media dalam talian dan 50 media antarabangsa. – UTUSAN










