PENINGKATAN kes cerai disebabkan masalah curang membuatkan pelakon jelita, Aishah Ilias takut untuk berumah tangga.
Aishah yang kini berusia 37 tahun memaklumkan dirinya fobia tatkala melihat ramai perempuan zaman sekarang yang diabaikan selepas diceraikan.
Disebabkan itu, pelakon drama LayangLayang Perkahwinan ini memilih untuk kekal bujang meskipun usianya menjangkau 40 tahun.
“Saya bukanlah tak mahu berkahwin, cuma saya takut dengan lelaki zaman sekarang. Saya melihat saudara mara dan rakan terdekat yang rumah tangga mereka punah disebabkan suami curang.
“Lebih menyedihkan apabila ada dalam kalangan mereka yang diceraikan ketika hamil. Situasi itu membuatkan saya fobia dan takut untuk berkahwin.
“Walaupun belum berkahwin, saya faham kesakitan yang mereka terpaksa hadap. Cuma tak dapat bayangkan kalau saya di tempat mereka kerana saya seorang yang rapuh. Saya simpati kepada yang lalui perkara ini. Perempuan tak sama dengan lelaki yang senang move on,” katanya.
Aishah bagaimanapun tidaklah menutup hati kepada lelaki. Malah pelakon tinggi lampai ini mengakui sebelum ini pernah berkasih cuma tak berpanjangan.
“Malah saya pernah didekati golongan kenamaan termasuk kerabat. Tapi saya tak mahu jadi perampas kebahagiaan orang lain, justeru bertindak menjauhkan diri daripada mereka.
“Lagipun rasanya saya tak sesuai berkawan dengan orang kaya kerana gaya hidup mereka berbeza saya yang sejak kecil dibesarkan dalam keluarga susah. Saya sedar kedudukan saya.
“Walaupun takut berumah tangga, saya tetap serahkan perkara ini kepada Tuhan. Sebab itu kalau ada yang bertanya tentang kahwin, saya minta mereka doakan,” kongsinya lagi.
KEMUNCULAN SEMULA
Penglibatan dalam drama Layang-Layang Perkahwinan ibarat kemunculan semula Aishah dalam dunia seni lakon selepas beberapa tahun menyepi.
Aishah akui bukan mudah untuk mencari tapak yang hilang apatah lagi dengan kemunculan pelakon-pelakon baru yang bukan sahaja cantik, malah berbakat.
“Sekarang ramai pelakon yang cantik dan berkeyakinan. Saya pula seorang yang tak suka bersaing, percaya rezeki masing-masing telahpun ditentukan.
“Saya berhasrat untuk aktif semula. Mahu atau tidak, saya kena mula dari bawah walaupun dulu pernah diberi kepercayaan membawakan peranan utama dalam drama dan filem,” katanya.
Kata Aishah, tidak timbul masalah untuk dia bermula semula dengan membawakan peranan sampingan dalam drama atau filem.
Malah pelakon ini selesa apabila watak jenis itu kebanyakannya tidak membabitkan tempoh penggambaran yang lama, membolehkan dia membahagikan masa untuk komitmen lain.
“Saya sudah lalui fasa di mana terpaksa menjalani penggambaran hampir setiap hari, pulang kerja awal pagi dan sebagainya.
“Sekarang keadaan sedikit berbeza. Saya pun kini bekerja dalam bidang pemasaran, jadi mahu atau tidak kena ambil tawaran (lakonan) yang jadual penggambarannya tidak terlalu padat,” katanya.