Keluarga reda, harap anggota bomba hilang segera ditemui

Keluarga reda, harap anggota bomba hilang segera ditemui

JAMALIAH ABD. MAJID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : “Saya reda jika dia ditemui sama ada dalam keadaan selamat atau sebaliknya.” 

Itu kata isteri kepada seorang anggota bomba, Mohd. Izwan Illias, 42, selepas mengetahui suaminya terjatuh ketika sedang menguji enjin bot (kevlar) pasukan di kawasan Sungai Perai berhampiran Jeti Pangkalan Marin, Mak Mandin di sini, semalam. 

Jamaliah Abd Majid, 42, berkata, sebelum itu, dia mengakui bahawa hatinya berasa resah apabila Mohd. Izwan tidak menghubunginya seperti biasa, malam tadi.

“Selalunya apabila bekerja syif malam, sudah menjadi rutin dia akan menelefon saya setiap pukul 10 malam untuk bertanyakan keadaan kami sekeluarga di rumah.

“Bagaimanapun, kira-kira pukul 11 malam tadi, ada anggota (bomba) datang ke rumah sewa kami di Permatang Pak Maras, Penaga untuk memaklumkan mengenai kejadian tersebut.

“Dunia terasa seperti gelap seketika tatkala menerima perkhabaran itu dan saya bersama lima anak kami kemudiannya bergegas ke Jeti Pangkalan Marin, Mak Mandin untuk melihat operasi mencari suami,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Jamaliah berkata, sebelum kejadian, ada beberapa perubahan dikesan berlaku kepada suaminya seperti kurang bercakap sejak beberapa minggu lalu selain kurang teruja apabila berbual mengenai persiapan Aidilfitri.

“Dia juga kurang selera makan dan paling saya perasan, kelainannya ketika menghantar dia ke kereta sebelum bertolak ke tempat kerja kerana dia tidak menoleh ke arah saya seperti biasa, sebaliknya, terus berlalu pergi.

“Selain itu, suami juga pernah berpesan supaya saya berdikari tanpa dirinya atau bantuan orang lain dalam membesarkan lima anak kami yang berusia antara empat sehingga 16 tahun,” katanya.

Sementara itu, bapa mangsa, Illias Othman, 77, berkata, dia reda dengan ujian yang menimpa mereka sekeluarga.

ILLIAS OTHMAN

“Memang panik apabila terima perkhabaran seperti itu kerana siapa yang tidak sayang anak, Namun, kita tidak boleh melawan takdir. Saya cuma berharap supaya dia segera ditemui dan semua urusan dapat diselesaikan di hari Jumaat yang mulia ini,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terpaksa menggunakan empat kaedah dalam operasi mencari seorang anggotanya yang dikhuatiri lemas ketika sedang menguji enjin bot (kevlar) pasukan di Jeti Pangkalan Marin, Mak Mandin di sini, semalam.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, jarak pencarian dilakukan satu kilometer ke hilir serta 500 meter ke hulu dari lokasi mangsa yang juga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth itu dilaporkan jatuh.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×