Keluarga Abdul Hadi berkumpul sambut Tahun Baharu Cina - Utusan Malaysia

Keluarga Abdul Hadi berkumpul sambut Tahun Baharu Cina

ABDUL Hadi Awang (barisan belakang, tengah) bergambar bersama ahli keluarga dan tetamu yang hadir pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina di Rusila, Marang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kemeriahan Tahun Baharu Cina turut diraikan oleh keluarga Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menyambutnya di Rusila dekat Marang, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr Muhammad Khalil, yang juga anak kepada Abdul Hadi berkata, sambutan itu adalah sebagai bukti keharmonian yang diajarkan oleh Rasulullah SAW untuk semua umat manusia.

“Kami menyambut perayaan Tahun Baharu Cina bersama keluarga besar Tuan Guru Ayah Chik di Rusila bagi meraikan adik ipar saya, Aisyah Lim yang berketurunan Cina.

“Turut hadir dalam sambutan itu adalah Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Kuala Terengganu Alex Chan Foo Yew.

“Inilah keharmonian yang diajarkan oleh Rasulullah SAW kerana Islam adalah agama bukan bangsa,” katanya dalam satu status yang dimuat naik di Facebook rasminya semalam.

Difahamkan, sambutan Tahun Baharu Cina itu adalah rutin tahunan buat keluarga Abdul Hadi untuk meraikan menantunya yang berketurunan Cina.

Beberapa keping gambar dan video yang dimuat naik di media sosial menunjukkan sambutan berlangsung penuh ceria dengan jamuan pelbagai hidangan dan sesi bergambar seisi keluarga Abdul Hadi yang berpakaian serba merah.

Terdahulu, Abdul Hadi dalam perutusan khasnya memaklumkan Pas melalui pemerintahan di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis sudah berjaya membuktikan bahawa kebebasan beragama kepada penganut agama lain tidak dihalang selama ini.

Menurutnya, rumah-rumah ibadat tidak dirobohkan dan kegiatan ekonomi tidak disekat, sehingga orang bukan Islam hidup aman dan sejahtera di bawah pentadbiran Pas dengan diberikan hak kebebasan beragama dan bermasyarakat.

“Dalam hidup bermasyarakat majmuk ini, kita juga hendaklah saling mengenali budaya antara satu sama lain, saling kunjung mengunjungi dan saling hormat menghormati, supaya kita terus hidup dengan suasana yang penuh harmoni dan gembira.

“Saya sendiri terus belajar tentang budaya dan amalan kaum-kaum lain di Malaysia.

“Justeru itu, harapan saya sempena perayaan Tahun Baharu Cina ini agar perpaduan kaum di Malaysia terus dieratkan dan diperkukuhkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN