THIMPHU: Bhutan menawarkan insentif kewangan kepada keluarga mempunyai lebih ramai anak ketika kerajaan kecil di Himalaya itu berdepan kadar kelahiran yang menjunam dan peningkatan penghijrahan golongan muda yang mencari peluang di luar negara.
Jumlah kelahiran tahunan telah menurun lebih satu perempat sepanjang sedekad lalu, sekali gus memburukkan lagi ketiadaan golongan muda akibat penghijrahan.
Perdana Menteri Bhutan, Tshering Tobgay berulang kali memberi amaran mengenai kemerosotan populasi itu.
Malah, beliau menyifatkannya sebagai krisis yang mengancam kelangsungan negara, menurut Perkhidmatan Penyiaran Bhutan.
“Bukti yang ada amat jelas. Kadar kesuburan Bhutan telah menurun sehingga menghampiri atau berada di bawah paras penggantian penduduk,” tulis Tobgay dalam pengenalan kepada program kerajaan ‘Tambah Anak Ketiga’ yang dilancarkan pada Jun.
Berdasarkan skim itu, keluarga akan menerima bayaran bulanan sebanyak AS$105 (RM427) bagi setiap anak ketiga dan seterusnya sehingga kanak-kanak tersebut berusia tiga tahun.
Khandu Wangmo, 35, seorang penjawat awam, menyambut baik insentif itu. Namun, beliau mempersoalkan sama ada bantuan kewangan semata-mata mampu meyakinkan keluarga untuk mempunyai lebih ramai anak.
“Ia merupakan satu inisiatif yang baik kerana menggalakkan keluarga mempunyai tiga orang anak atau lebih.
“Bagaimanapun, kesannya mungkin terhad jika kos membesarkan anak, perumahan dan penjagaan kanak-kanak terus tinggi,” katanya. Kerajaan menganggap isu itu mempunyai kepentingan besar di negara yang mempunyai penduduk kurang 800,000 orang dan terletak di antara India dan China. – AFP










