WASHINGTON: Juri persekutuan di Amerika Syarikat (AS) pada Rabu mensabitkan penyerang novelis Salman Rushdie atas kesalahan melakukan tindakan keganasan berhubung serangan berdarah pada Ogos 2022 di sebuah pusat kebudayaan di New York.
Hadi Matar, 28, seorang rakyat Amerika berketurunan Lubnan, memilih untuk menyelaraskan nilai pegangannya dengan nilai keganasan pemimpin-pemimpin Iran, kata Peguam Negara AS Michael DiGiacomo.
Beliau menambah bahawa tertuduh menghabiskan masa berbulan-bulan merancang serangan tikaman yang hampir meragut nyawa Rushdie dan menyebabkan beliau buta pada sebelah mata.
Matar turut disabitkan kesalahan menyokong kumpulan militan Lubnan yang disokong Iran, Hizbullah, selepas penyiasat menemui bahan berkaitan pertubuhan itu di kediamannya.
Beliau dijadualkan dijatuhi hukuman pada 3 November. Sebelum perbicaraannya, Matar memberitahu seorang wartawan bahawa beliau percaya Rushdie telah menghina Islam.
Pendakwa raya persekutuan berkata, Matar bertindak berpandukan fatwa yang menyeru hukuman mati terhadap Rushdie, yang pertama kali dikeluarkan pada 1989 oleh bekas pemimpin Iran, Ayatollah Ruhollah Khomeini, kerana menggambarkan Nabi Muhammad SAW secara fiksyen dalam novel terlarisnya, The Satanic Verses.
Menurut pendakwa raya, fatwa itu ditegaskan semula pada 2017 oleh bekas Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dan turut disokong dalam ucapan pada 2006 oleh pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah.
“Serangan kejam terhadap Rushdie ketika beliau menghadiri satu acara ceramah secara aman merupakan peringatan yang menggerunkan tentang jangkauan global keganasan Iran,” kata DiGiacomo.
Rushdie memberi keterangan dalam perbicaraan Matar minggu lalu dan bercakap hampir sejam mengenai serangan itu.
Serangan itu berlaku di Institusi Chautauqua ketika berlangsungnya satu persidangan mengenai kebebasan bersuara. Matar, yang ketika itu berusia 24 tahun, meluru ke pentas sebelum menikam Rushdie berkali-kali menggunakan sebilah pisau. – AFP










