Kejatuhan ringgit beri kesan minimum pada pembelian ubat - Utusan Malaysia

Kejatuhan ringgit beri kesan minimum pada pembelian ubat

RInggit
DR. Dzulkefly Ahmad melawat Klinik Pergigian Tanjong Karang yang dijadualkan beroperasi pada 4 Mac ini di Kuala Selangor, Selangor, hari ini. UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Kejatuhan matawang Ringgit Malaysia (RM) yang berlaku ketika ini didakwa memberikan kesan minimum kepada kerajaan untuk mendapatkan bekalan ubatan dari luar negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkifly Ahmad berkata, bagaimanapun situasi tersebut tidak mempengaruhi keseluruhan ubat, sebaliknya hanya melibatkan jenis-jenis tertentu.

“Kita menggunakan kaedah hedging bagi pembelian ubat iaitu kaedah transaksi yang dapat mengelak daripada kesan matawang yang sentiasa berubah. Jadi, kita beli awal dan tetapkan harga sesebuah ubat (sebelum ubat itu tiba di negara ini).

“Mungkin sehari dua matawang kita menjunam, tetapi kita masih selamat kerana membeli ubat dengan harga yang ditetapkan terlebih dahulu,” katanya selepas majlis penyerahan Klinik Pergigian Tanjong Karang, hari ini.

Menurut beliau, kerajaan hanya membeli jenis ubat dari luar negara yang tamat tempoh patennya atau tiada syarikat farmasi tempatan dapat menghasilkan generic ubat itu dengan baik.

“Kerajaan sentiasa mengutamakan pembelian ubatan daripada syarikat farmaseutikal tempatan. Jadi kesan kejatuhan RM terhadap perolehan pembelian ubat adalah minimum.

“Selain itu, terdapat kesan baik daripada kejatuhan RM iaitu lebih ramai pesakit luar negara yang akan datang ke Malaysia bagi mendapatkan rawatan pelbagai penyakit di pusat perubatan tempatan,” jelasnya.

Ketika ini, semakan menerusi portal rasmi Bank Negara Malaysia (BNM) menunjukkan nilai RM berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada semalam adalah pada paras RM4.78.

Sementara itu, dalam masa sama Dzulkefly memaklumkan Klinik Pergigian Tanjong Karang yang baharu akan mula beroperasi pada 4 Mac ini.

“Klinik yang kos pembinaannya bernilai RM13 juta ini mempunyai lapan kerusi pergigian, bilik X-ray intraoral dan makmal pergigian. Dianggarkan lebih 50 pesakit dapat dirawat di klinik itu dalam sehari,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN