KEB 2024: Sikap bumiputera terhadap pendidikan perlu berubah

KEB 2024: Sikap bumiputera terhadap pendidikan perlu berubah

NOOR AZLAN GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sikap kumpulan bumiputera terhadap pendidikan perlu diubah bagi memastikan tahap kumpulan tersebut dapat dipertingkatkan.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, keutamaan pendidikan dan pembangunan kerjaya dalam kalangan bumiputera masih rendah.

Kata beliau, perkara tersebut didapati melalui kajian dan soal jawab bersama bumiputera daripada pelbagai lapisan masyarakat dan latar belakang bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai pendidikan.

“Kita juga dapati telah ada anjakan dalam pelajar-pelajar bumiputera yang keluar daripada sistem pendidikan dan pergi ke sekolah-sekolah jenis kebangsaan dan antarabangsa.

“Apabila kami bertemu dengan pengendali-pengendali pendidikan sepertia institut pengajian tinggi swasta (IPTS), mereka menyampaikan bahawa mereka dapat merasai sikap antara bumiputera dan kaum lain berbeza,” katanya semasa melakukan pembentangan mengenai Reformasi Pendidikan dan Modal Insan di Kongress Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024).

Untuk rekod, KEB 2024 yang diadakan selama tiga hari sehingga Sabtu ini di Pusat Konvensyen Putrajaya Antarabangsa (PICC) itu merupakan agenda penting kerajaan bagi merombak dan melonjak pembangunan sosioekonomi Bumiputera secara menyeluruh.

Mengulas lanjut, Dr. Noor Azlan berkata, kerajaan perlu memastikan polisi-polisi afirmatif negara adalah pro-produktif.

“Ada negara yang memberi bantuan seperti kita iaitu bantuan tunai tetapi diikat dengan kehadiran anak ke sekolah dan ada juga seperti mengikat kehadiran ke dalam program pendidikan seperti kolej-kolej komuniti ataupun GiatMARA.

“Ini supaya mereka menjadi lebih produktif, penting untuk kita pastikan perkara ini. Penekanan terhadap pendidikan dan modal insan perlu dipertingkatkan,” katanya.

Tambahnya, pendidikan awal kanak-kanak perlu disemak semula sama ada perlunya mewajibkan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke tadika.

“Kami dapati terutama di kawasan luar bandar, kualiti pendidikan awal kanak-kanak memang jauh berbeza. Jadi perlu cari jalan untuk tingkatkan kualiti tersebut.

“Mungkin memberi beberapa geran kepada pengusaha-pengusaha bumiputera untuk membuka tempat pendidikan awal kanak-kanak atau tadika di kawasan-kawasan yang mengalami kekurangan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×