Kastam patahkan cubaan seludup daging khinzir, arak RM7.2 juta - Utusan Malaysia

Kastam patahkan cubaan seludup daging khinzir, arak RM7.2 juta

Daging khinzir
NORLELA Ismail menunjukkan gambar daging khinzir yang dirampas JKDM Zon Tengah, Unit II (Selangor) dalam sidang akhbar dekat Pejabat Kastam Selangor Pelabuhan Utara di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Cubaan menyeludup daging khinzir dan minuman keras bagi pasaran tempatan sempena perayaan Tahun Baharu China di Pelabuhan Utara di sini dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit II (Selangor) dalam tiga rampasan berasingan.

Rampasan tersebut membabitkan 97,000 kilogram (kg) daging khinzir dan 126,720 liter minuman keras pelbagai jenama masing-masing dipercayai dibawa masuk ke negara ini dari Hong Kong dan China dengan nilai barangan dan cukai berjumlah RM7.2 juta.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, kesemua rampasan tersebut cuba diseludup ke negara ini melalui ikrar sebagai aksesori perabot iaitu barang yang tidak memerlukan permit import.

Menurutnya, daging khinzir itu ditemukan dalam empat buah kontena pada 13 Februari lalu dan dipercayai tidak mempunyai permit import dari Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (MAQIS).

“Hasil pemeriksaan ke atas keempat-empat kontena berkenaan menemukan daging khinzir yang dianggarkan bernilai RM2.7 juta membabitkan kuantiti rampasan dianggarkan 96,000 kg.

“Modus operandi digunakan oleh pihak sindiket adalah dengan mengikrar tidak benar dagangan sebagai furniture accessories. Malah, berdasarkan label pada kotak bungkusan dipercayai daging tersebut berasal dari Brazil sebelum transit di Hong Kong dan dibawa masuk ke negara ini,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Tambahnya, daging tersebut adalah untuk pasaran negara ini dan dipercayai akan dibungkus semula serta dijual sebagai sumber makanan tempatan.

Sementara itu, beliau menjelaskan, rampasan minuman keras melibatkan nilai barangan dan cukai sebanyak RM4.63 juta dirampas dalam lima buah kontena di lokasi sama pada 9 dan 13 Februari lalu.

“11,520 liter ditemukan dalam sebuah kontena pada 9 Februari sementara 115,200 liter pada 13 Februari, masing-masing melibatkan nilai barangan dan cukai berjumlah RM532,000 dan RM3.3 juta.

“Kesemua kontena tersebut diperiksa Bahagian Penguatkuasaan, JKDM Zon Tengah, Unit II (Selangor) dan menahan lima buah kontena bersaiz 40 kaki,” jelasnya.

Katanya lagi, kesemua kes itu disiasat di bawah Akta Kastam 1967 iaitu mengimport barang larangan berlawanan dengan sesuatu larangan di bawah Seksyen 135(1)(a) akta tersebut.

“Jika sabit kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda 10 hingga 20 kali ganda nilai barangan atau RM500,000 mengikut mana lebih tinggi atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Orang ramai digesa membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan dan dinasihatkan tidak membabitkan diri dalam aktiviti tersebut. Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara, tetapi mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan rakyat,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×