Kapasiti Empangan Air Itam semakin berkurangan

Kapasiti Empangan Air Itam semakin berkurangan

KAPASITI efektif Empangan Air Itam menunjukkan penurunan sebanyak 0.4 peratus dalam tempoh 11 hari lalu di Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kapasiti efektif Empangan Air Itam semakin berkurang sebanyak 0.4 peratus dalam tempoh 11 hari lalu termasuk ketika hari kemuncak perayaan Tahun Baharu Cina, baru-baru ini.

Kadar itu menyaksikan pengurangan 0.04 peratus sehari berdasarkan data semasa yang direkodkan pihak Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) sehingga kelmarin dengan kini mencatatkan pada kadar 32.4 peratus berbanding data yang diambil pada 5 Februari lalu, 32.8 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, K. Pathmanathan berkata, kadar penurunan rendah itu berlaku berikutan pelaksanaan Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024) untuk mengekalkan kapasiti efektif empangan itu sehingga musim hujan akan datang.

“Bagaimanapun, dengan hanya 1.5 milimeter (mm) taburan hujan yang direkodkan sejak 1 Februari lalu dan suhu semasa pula meningkat sehingga 36 darjah Celcius, purata aliran masuk air ke Empangan Air Itam ketika ini adalah kurang daripada biasa.

“Justeru, daripada 15 juta liter air sehari (JLH), aliran masuk air ke empangan telah berubah-ubah iaitu antara 10 dan 12 JLH daripada tiga muka sauk empangan iaitu muka sauk Balik Pulau, Sungai Tepi dan Sungai Pinang Barat.

“Hasilnya, kapasiti efektif empangan menurun sedikit sebanyak 0.4 peratus dalam tempoh 5 hingga 16 Februari,” katanya di sini, semalam.

Sementara itu, beliau memberitahu, paras air di Sungai Muda berada dalam keadaan agak ‘sihat’ iaitu pada paras 2.02 meter dengan kapasiti Empangan Muda dan Empangan Beris yang melepaskan air ke Sungai Muda dilaporkan masing-masing sebanyak 74.8 peratus dan 100 peratus.

“Dalam hal ini, kecuali berlakunya kejadian yang tidak diingini, PBAPP sepatutnya mampu untuk mengekalkan langkah-langkah kecemasan AIDAP 2024 dengan selamat untuk tempoh 30 hingga 60 hari akan datang,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau turut meminta kerjasama dan sokongan daripada pengguna di Air Itam untuk menggunakan air dengan lebih berhemat sebagai sebahagian daripada langkah untuk membantu mengekalkan air di empangan tersebut.

“Elakkan penggunaan hos serta kurangkan mencuci kenderaan, menyiram taman dan tumbuh-tumbuhan dengan bekas penyiram dan lain-lain kaedah,” jelas Pathmanathan.

Empangan Air Itam sebelum ini dilaporkan mampu bertahan sehingga 32 hari lagi dan paras air di empangan itu kekal sama sejak 10 hari lalu susulan pelaksanaan pelan untuk mengurangkan pengekstrakan air dari empangan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×