KUALA LUMPUR: Penyanyi, Hafiz Hamidun tidak pernah menjadikan kegagalan rumah tangga terdahulu sebagai halangan untuk dia kembali bernikah dengan mana-mana wanita yang berjodohnya dengannya.
Bagaimanapun, kongsi pemilik nama sebenar Mohamad Hafiz Hamidun itu, dia sehingga kini belum bertemu pasangan terbaik selepas melalui beberapa episod kegagalan kisah cinta sementelah kerjaya seninya menuntut tumpuan penuh.
“Trauma itu tidaklah. Ada rezeki, ada jodohnya insya-Allah saya akan berkahwin. Tahun ini usia saya 40 tahun, muda lagi kan? Anak angkat saya juga sudah berusia 4 tahun.
“Jadi sudah ada kelapangan masa untuk mungkin berkenalan. Sebenarnya, percintaan dan perkahwinan juga satu komitmen kan. Jadi saya kena set balik terutama dengan lambakan kerja dan kehidupan sedia ada.
“Tetapi saya tidaklah menolak jika sampai jodoh dan serunya. Cuma bila terlalu fokus kerja, memang tak ada masa untuk bercinta,” ujarnya.
Dalam pada itu, Hafiz juga memberitahu, wanita rakyat Indonesia yang pernah dikaitkan bercinta denganya sekitar 2021 sudah meninggal dunia akibat Covid-19.
“Saya dapat tahu berita pemergiannya daripada keluarga dan rakan-rakan terdekat wanita itu.
“Terkejut tetapi ketika itu kita semua sedang berjuang melawan pandemik, jadi saya terima itu sebagai aturan Tuhan,” ujarnya.










