GEORGE TOWN : Seorang jurutera direman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta dan menerima suapan berjumlah RM13,000 daripada kontraktor yang menjalankan kerja-kerja kontrak dengan sebuah jabatan, dua tahun lalu.
Perintah reman terhadap lelaki yang berusia dalam lingkungan 30 tahun itu dikeluarkan Majistret Mohamad Azlan Basri selepas meneliti permohonan yang dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes tersebut.
Terdahulu, lelaki terbabit tiba di mahkamah kira-kira pukul 8.47 pagi dengan berbaju lokap dan tangan yang bergari serta diiringi oleh dua anggota SPRM.
Media sebelum ini melaporkan, suspek ditahan kira-kira pukul 5 petang semalam selepas diminta untuk hadir ke pejabat SPRM Pulau Pinang di Jalan Sultan Ahmad Shah, di sini.
Menurut sumber, suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada pertengahan tahun 2022 serta telah menggunakan wang itu untuk membeli sebuah meja snuker dan meja ping pong yang ditempatkan di pejabatnya.
Pengarah SPRM negeri, Mohd. Fuad Bee Basrah ketika dihubungi dalam pada itu mengesahkan tangkapan berkenaan dan berkata, siasatan kini dijalankan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.-UTUSAN










