TAIPING: Seorang jurulatih hoki di sebuah sekolah di sini mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Taiping hari ini di atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap empat remaja lelaki.
Tertuduh, Hidayat Jalil, 50, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang telah berkahwin itu didakwa melakukan perbuatan amang seksual fizikal dengan cara memeluk dari arah belakang, memegang kemaluan dan punggung pelajar lelaki berusia 14 dan 16 tahun selain melakukan onani dihadapan salah seorang mangsa.
Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di beberapa lokasi iaitu di dua buah hotel di Jalan Kamunting Lama dan Jalan Barrack serta di dalam sebuah kereta di pekarangan sebuah hotel di dalam daerah Larut Matang dan Selama antara Julai 2023 hingga 21 Januari 2024.
Pendakwaan terhadap lelaki itu dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTKK) 2017 dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 14(a) AKSTKK 2017, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan manakala Seksyen 16(1) AKSTKK 2017 pula hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan sebat tidak kurang lima sebatan.
Bagi kesalahan melakukan onani, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(a)(i) AKKSKK 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksium RM20,000 atau kedua-duanya.
Pada prosiding di mahkamah sama, tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah di bawah Seksyen 14(a) AKSTKK 2017 iaitu mencium pipi kanan mangsa berusia 14 tahun di hadapan sebuah rumah di Taman Kamunting pada pukul 8.30 malam, 2 Disember 2024.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ng Yan Ni manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan hukuman tarikh lain pada 4 Mac depan sementara menunggu fakta kes.
Tarikh sama juga ditetapkan untuk sebutan semula kes di bawah Seksyen 15(a)(i) AKKSKK 2017 bagi tujuan serahan dokumen dan lantikan peguam. – UTUSAN










