Lelaki mengaku bersalah amang seksual cucu saudara - Utusan Malaysia

Lelaki mengaku bersalah amang seksual cucu saudara

LELAKI yang didakwa melakukan amang seksual terhadap cucu saudaranya ketika dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap cucu saudaranya yang berusia enam tahun di Gerik.

Tertuduh berusia 54 tahun itu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual dengan cara memegang kemaluan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di sebuah pondok di hadapan sebuah rumah di Kampung Kenayat di Gerik pada waktu pagi, pertengahan tahun 2024.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Firdaus Nor Azlan mencadangkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh berserta syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon jumlah jaminan minimum atas alasan bekerja sendiri selain menghidap penyakit batu karang dan tiada ahli keluarga yang hadir untuk membayar ikat jamin.

Rohaida kemudian membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Mahkamah juga menetapkan sebutan semula kes pada 12 September depan sementara menunggu fakta kes dan laporan perubatan mangsa.

Media sebelum ini melaporkan, seorang kanak-kanak perempuan berdepan detik hitam apabila mendakwa dicabul datuk saudaranya di mana perbuatan terkutuk lelaki itu terbongkar apabila mangsa mengadu kepada ibunya berkaitan kejadian itu.

Kejadian cabul itu dikatakan berlaku selepas tertuduh mengurut perut mangsa bagi tujuan ‘membuang angin’ sebelum bertindak meraba kemaluan kanak-kanak itu.

Mangsa cuba melawan namun telah diberi amaran oleh suspek. Disebabkan bimbang diapa-apakan, mangsa hanya bertindak mendiamkan diri. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×