JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri akan membuat kajian teliti berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 18 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019, Jumaat lalu.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, langkah itu perlu bagi keputusan di peringkat negeri tidak bercanggah dengan peringkat Persekutuan.
“Perkara ini melibatkan undang-undang dan saya percaya Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan telah membuat kenyataan dan UMNO Johor selari dengan apa yang telah disebutkan itu.
“Sementara itu di peringkat negeri, kita akan membuat kajian teliti berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan itu kerana kita tidak mahu bercanggah dengan perkara yang diputuskan di peringkat negeri dan peringkat Persekutuan.
“Selain itu, ini merupakan perkara yang sangat sensitif, jadi ia perlu dikaji dengan cukup rapi,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor di sini, semalam.
Turut hadir, Naib Presiden UMNO yang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga merupakan Menteri Pertahanan dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada kerajaan negeri mempunyai cadangan untuk memperkasa undang-undang syariah di negeri ini susulan keputusan Mahkamah Persekutuan terbabit.
Mohamad yang juga Menteri Luar sebelum ini berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan itu tiada kaitan dengan kedudukan agama Islam dan Mahkamah Syariah.
Sebaliknya, beliau menegaskan ia melibatkan keputusan Kerajaan Kelantan yang dilihat bertindih dengan Perlembagaan Persekutuan dalam menggubal enakmen undang-undang syariah di peringkat negeri.
Sementara itu, Ahmad pula memberitahu, UMNO mahu peranan mahkamah syariah terus diperkasa termasuk melihat sama ada terdapat keperluan untuk meminda Perlembagaan, yang perlu dibincangkan di peringkat tertinggi.
Jumaat, lalu Mahkamah Persekutuan menerusi keputusan majoriti 8-1, memutuskan bahawa 16 kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.
Keputusan itu disampaikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel sembilan anggota selepas membenarkan permohonan dua wanita Islam bagi mencabar isu perlembagaan membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah enakmen tersebut. – UTUSAN










