PUTRAJAYA: Sebuah kondominium di sini bukan sahaja dijadikan penginapan kepada ratusan pekerja asing, malah ia turut menjadi ‘koloni’ pendatang asing tanpa izin (PATI).
Situasi itu sekali gus menimbulkan rasa tidak selesa warga tempatan yang menetap di kondominium berkenaan.
Bertindak atas aduan awam, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bertindak menggempur kondominium itu malam tadi sebelum berjaya menahan 25 PATI.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, kesemua yang ditahan membabitkan 23 lelaki dan dua wanita masing-masing berusia 25 hingga 45 tahun terdiri daripada warganegara India, Indonesia, Pakistan, Myanmar dan Filipina.
Beliau berkata, operasi yang bermula pada 12.00 tengah malam itu turut menggeledah 47 unit kondominium yang didiami warganegara asing selain memeriksa 127 individu.
“Ketika serbuan dan pemeriksaan terdapat warga asing yang mengambil masa yang lama untuk membuka pintu semasa pemeriksaan dilakukan,” katanya.
“Siasatan awal mendapati, setiap unit kondominium disewa pada kadar RM2,500 sebulan dan didiami antara lima hingga 10 orang,” katanya ketika ditemui ketika serbuan di kondominium itu malam tadi.
Katanya, serbuan dibuat selepas aduan awam oleh penduduk setempat yang mendakwa tidak selesa dengan kehadiran warganegara asing yang ramai di kondominium berkenaan.
Ruslin berkata, pihaknya difahamkan, warga asing itu dipercayai bekerja di sekitar kondominium terutama di premis perniagaan berhampiran.
Menurutnya, PATI yang ditahan didapati tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63.
“Mereka kini ditempatkan di Ibu Pejabat JIM Putrajaya untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.
Bermula Januari hingga 2 Februari lalu, sebanyak 1,437 operasi dijalankan dengan 17,348 warga asing diperiksa manakala, 4,891 orang ditahan atas pelbagai kesalahan selain 3,622 sudah diusir keluar ke negara asal. – UTUSAN










