BUTTERWORTH : Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan empat kaedah dalam operasi mencari anggota bomba, Mohd Izwan Illias, 42, yang dikhuatiri lemas ketika sedang menguji enjin bot (kevlar) di Jeti Pangkalan Marin JBPM Mak Mandin, di sini malam tadi.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, selain menggunakan teknik selaman, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) turut menggunakan teknik pencarian di permukaan menggunakan penarik dasar, khidmat dua anjing pengesan (K9) bagi meluaskan ruang pencarian mangsa serta penggunaan dron untuk membantu mengesan kedudukan mangsa.
“Untuk pengetahuan, operasi mencari mangsa ini telah diperluas sehingga satu kilometer iaitu menyusur sehingga ke hilir dan 500 meter ke hulu sungai dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.
“Setakat ini, seramai 50 anggota terlibat dalam operasi mencari manakala sembilan bot milik JBPM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah digunakan bagi tujuan ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata keadaan sungai yang berlumpur selain permukaannya yang dipenuhi sampah sarap antara halangan buat pasukan yang menjalankan operasi untuk mencari mangsa.
“Anggota penyelam bagaimanapun tetap dapat menjalankan operasi dengan efektif kerana kesukaran itu sudah dijangka. Namun, arus deras turut menjadi halangan utama buat mereka.
“Dari pukul 7.30 sehingga 11 pagi tadi, mereka telah menjalankan aktiviti mencari dengan menyelam, namun, terpaksa dihentikan susulan keadaan sungai yang tidak sesuai.
“Apapun, kita akan fokuskan kepada tiga kaedah lain untuk meneruskan operasi pencarian dan diharapkan mangsa dapat ditemui dengan segera,” ujar beliau.

Mengulas mengenai kejadian terbabit, Nor Hisham berkata, ia berlaku ketika mangsa sedang menambat bot pasukan di jeti berkenaan selepas selesai menguji enjinnya.
“Selain mangsa, terdapat seorang lagi rakan setugas yang sedang mengemas barangan di stor berhampiran sebelum (rakannya itu) terdengar mangsa menjerit memanggil namanya.
“Ketika tiba, rakannya mendapati mangsa sudah tiada dalam bot lalu terus melakukan kerja awal pencarian selama kira-kira 20 minit sebelum menghubungi pusat kawalan selepas gagal menjumpai mangsa,” kata Nor Hisham yang memberitahu, walaupun mangsa merupakan seorang pengendali bot serta tidak fobia terhadap air, namun, beliau dimaklumkan bahawa keupayaan anggota terbabit pada waktu itu amat terbatas.
Terdahulu, media melaporkan seorang anggota bomba dikhuatiri lemas ketika melakukan kerja menyelenggara bot di Jeti Pangkalan Marin di Mak Mandin, malam tadi.-UTUSAN










