Jawatankuasa khas tambah baik Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah perlu ditubuhkan - Utusan Malaysia

Jawatankuasa khas tambah baik Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah perlu ditubuhkan

WAN MOHD. ZAKRI WAN MOHD.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jawatankuasa khas perlu ditubuhkan untuk penambahbaikan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) bagi memastikan kes pembatalan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 tidak lagi berulang pada masa akan datang.

Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Wan Mohd. Zakri Wan Mohd. berkata, jawatankuasa khas tersebut perlu melibatkan 13 negeri kerana peruntukan perundangan bagi kesalahan jenayah syariah di setiap negeri adalah tidak seragam.

Menurutnya, penubuhan itu penting sebagai inisiatif untuk memperkemaskan lagi enakmen sedia ada dengan beberapa penambahbaikan.

“Cadangan penambahbaikan yang dibuat nanti boleh dipanjangkan kepada Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal undang-undang Islam yang ditubuhkan di peringkat Persekutuan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) seterusnya disampaikan kepada Majlis Kemajuan Islam (MKI).

“Penubuhan ini adalah penting kerana jawatankuasa itu juga boleh memperhalusi pindaan-pindaan melibatkan beberapa perkara di peringkat persekutuan yang ada kaitan dengan kuasa undang-undang peringkat negeri,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 daripada 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah.

Panel hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian selepas membenarkan petisyen peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman selaku pempetisyen bagi mencabar 18 peruntukkan enakmen tersebut.

Keputusan majoriti dicapai dengan lapan hakim menyokong pempetisyen itu manakala seorang menentang dan keputusan itu sehingga kini menimbulkan pelbagai kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Mengulas lanjut, Wan Mohd Zakri berkata, Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah tidak harus bersaing antara satu sama lain sebaliknya harus melengkapi dalam segala aspek perundangan.

Katanya, kajian terperinci mengenai perbezaan yang ada antara jenayah mahkamah syariah dan jenayah sivil juga perlu dilakukan bagi memastikan penggubalan sesuatu enakmen berkaitan jenayah syariah lebih jelas dapat dilakukan pada masa akan datang.

“Kajian semula berkaitan kuasa DUN untuk menggubal sesuatu enakmen berkaitan jenayah syariah perlu dilakukan supaya ianya lebih jelas.

“Contohnya, suatu tafsiran lebih jelas berkenaan perkataan ‘percept of Islam’ dalam butiran 1 senarai ll – senarai negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan perlu dibuat kerana ia adalah punca kepada apa yang berlaku ketika ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN