Pegawai perubatan kanan Malbatt 850-11 terima Anugerah Khas Diraja - Utusan Malaysia

Pegawai perubatan kanan Malbatt 850-11 terima Anugerah Khas Diraja

HAFIZ Zulariffin Zulkarnain (tiga dari kanan) menerima kurniaan Anugerah Khas Diraja sempena Majlis Pengurniaan Anugerah Perdana Belia Negara dan Anugerah Khas Belia Kerajaan Negeri Pahang 2024 di Wisma Belia Negeri Pahang di Kuantan, Pahang. - FOTO/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang pegawai perubatan kanan Malaysian Battalion 850-11 (Malbatt 850-11) tidak menyangka akan menerima kurniaan Anugerah Khas Diraja disampaikan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pengurniaan itu sempena majlis Anugerah Perdana Belia Negara dan Anugerah Khas Belia Kerajaan Negeri Pahang 2024 di Wisma Belia Negeri Pahang di sini hari ini.

Penerima anugerah tersebut, Mejar Dr. Hafiz Zulariffin Zulkarnain, 33, berkata, ketika dimaklumkan tentang pengurniaan anugerah tersebut, beliau sedang melaksanakan tugasan misi pengaman di Lebanon.

“Saya terkejut menerima panggilan telefon meminta saya pulang untuk menerima anugerah dari Tengku Mahkota Pahang. Saya dibenarkan pulang ke tanah air dan akan kembali ke Lebanon awal bulan depan,” kata bapa kepada dua anak itu.

Berasal dari Mentakab, Temerloh, difahamkan Hafiz Zulkarnain merupakan satu-satunya pegawai perubatan yang mempunyai kursus asas komando.

“Selain itu antara pencapaian terbaik saya ialah saya pernah menjadi pegawai koordinasi untuk perubatan bersama Eksesais Keris Aman II 2023 melibatkan 26 buah negara,” ujarnya yang menganggap kurniaan anugerah berkenaan sebagai rezeki buat anak-anaknya.

Penerima Anugerah Khas Belia Orang Kurang Upaya (OKU), Siti Hawa Apandi, 35, pula, berkata, anugerah yang diterimanya itu dianggap sebagai hadiah buat kedua ibu bapanya yang tidak pernah kenal erti penat lelah menjaganya yang menghidap penyakit Spinal Muscular Atrophy (SMA) Type 2.

Kata anak ketiga daripada lima beradik itu, dia bersyukur memenangi anugerah dan menganggap kemenangannya itu sebagai titik permulaan untuknya terus bergiat aktif dalam program webinar bagi memberi kesedaran tentang OKU dengan kerjasama unit OKU Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Bakal menamatkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Pengajian Komputer di UMPSA, Siti Hawa berkata, dia yang juga penolong bendahari Persatuan MSA Malaysia (MSAM) pada tahun ini berhasrat memberi kesedaran kepada komuniti tentang cabaran yang dihadapi OKU.

Selain Anugerah Khas Belia Kerajaan Negeri Pahang, sembilan individu turut menerima Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Pahang membabitkan tiga kategori.

Pemenang anugerah kali ini dinilai dan dipilih oleh panel penilai yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing sebelum dipersetujui oleh Jawatankuasa Pengesahan Pemenang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN